FMT Reporters
PETALING JAYA: Dua pelajar universiti lemas ketika mandi bersama lima rakan di air terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun, Terengganu.
Mayat Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mukhriz Noor Mohamad masing-masing berusia 20 tahun ditemui penduduk kampung kira-kira 1.45 tengah hari tadi.
Dua mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang itu menuntut di University of Seoul, Korea Selatan dan dikatakan sudah dua minggu pulang bercuti di Malaysia.
Rakan mangsa, Mohd Azim Azad, 20, berkata dia bersama dua mangsa dan empat lagi rakan bertolak dari Kuantan kira-kira 8 pagi tadi dan mula berkelah sambil mandi di kawasan air terjun itu kira-kira 1 tengah hari.
Ketika mandi, kami bertiga dihanyutkan arus kuat dan mereka sempat pegang tangan saya, namun keadaan arus yang kuat menyebabkan kedua-duanya terlepas pegangan, katanya menurut Harian Metro.
Azim yang sempat mencapai pelampung dilemparkan penduduk kampung, sedih gagal menyelamatkan dua rakannya yang tenggelam ke dasar.
Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata mayat dua mangsa itu ditemui penduduk kampung pada kedalaman kira-kira 10m dari permukaan air, tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan lemas.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah berada di Unit Forensik Hospital Dungun.
Tahun lalu, dua pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara ditemui lemas ketika mandi di lokasi sama kira-kira 12.15 tengah hari 12 Mei 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan