FMT Reporters
PETALING JAYA: Adun Peramu Nizar Najib menafikan beliau berjumpa pemimpin pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Pahang diterajui Wan Rosdy Wan Ismail.
Anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata mustahil untuk beliau berkomplot mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya bersama-sama ahli Umno sejak ia ditubuhkan pada 1946.
“Pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali.
Ayahanda Datuk Seri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita, agar setia kepada parti, kata Nizar yang juga exco Pahang dalam kenyataan.
Terdahulu tular satu hantaran di media sosial yang mengatakan kerajaan Pahang sedang goyah dan akan membentuk pentadbiran baharu.
Hantaran itu mengaitkan ‘anak bossku’ yang dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Nizar yang memegang portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi, inovasi dan alam sekitar Pahang berkata beliau menghormati kepimpinan Wan Rosdy dan tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Beliau turut menegaskan bukan seorang katak politik yang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana ‘pembida’.
“Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan.
Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama Umno dan Barisan Nasional serta kerajaan Pahang yang ada sekarang, tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan