KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa mempersoal bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz begitu yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipenjarakan.
Beliau mengulas kenyataan Nazri hari ini, kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba mengintai jawatan perdana menteri dan meletakkan dirinya sebagai pengganti Anwar.
Ini kerana menurut Nazri, Anwar ketika ini sedang berdepan masalah dalam perbicaraan kes fitnah II, termasuk fitnah video seks yang dihadapinya.
Menurut Fariz, kenyataan itu menjadi bukti bahawa pertuduhan terhadap Anwar satu konspirasi politik untuk memenjarakannya semula.
“Kenyataan Nazri membuktikan konspirasi yang melibatkan pimpinan Umno dan kerajaan bagi memastikan Datuk Seri Anwar ke penjara. Jelas kes ini menunjukkan konspirasi dan satu sandiwara,” katanya kepada keadilandaily.com
Beliau juga mengecam kenyataan tersebut yang bersikap subjudis sedangkan kes Anwar masih dibicarakan di mahkamah.
“Kenyataan ini menunjukkan ketakutan Umno-BN kepada Anwar Ibrahim dan menggambarkan keadaan mereka yang cukup tertekan,” katanya sambil memberi amaran, rakyat akan bangkit sekiranya Anwar dipenjarakan.
Selain itu, katanya pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak akan sesekali terpengaruh dengan dakyah tersebut, yang juga bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan dalam gabungan itu.
“Nazri cuba melaga-lagakan untuk memecah belahkan pimpinan Pakatan Rakyat sedangkan perkara itu tidak berlaku seperti yang digambarkan.
“Nazri belum memahami solidariti dan kerjasama dalam Pakatan, bahawa sesuatu keputusan yang diambil bukan secara individu tetapi secara kolektif dan bersama demi kepentingan rakyat,” tegas Fariz.
Katanya lagi, Pakatan Rakyat sebelum ini telah mengambil pendirian yang jelas untuk mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, sekaligus melantik beliau ke jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan memenangi pilihan raya umum kelak.
“Kita yakin walaupun sebelum ini terdapat ahli parlimen KEADILAN yang melompat parti, namun keputusan dibuat secara bersama dalam Pakatan untuk mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, bermakna Anwar diterima baik oleh semua pihak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan