"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO yang sudah tidak ku kenali lagi

Aspan Alias
Najib sedang menghadapi tekanan lebih hebat dari apa yang dialami oleh Abdullah Badawi semasa Abdullah masih Perdana Menteri dahulu. Semasa Dr Mahathir mundar mandir ke darat dan ke baruh membidas Abdullah, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mempertahankan Abdullah Badawi. Kumpulan Abdullah telah memberikan reaksi yang agak kuat terhadap tindakan Dr Mahathir, sehinggakan Dr Mahathir sendiri telah dimalukan oleh Abdullah
Dr Mahathir telah di gagalkan oleh perwakilan Kubang Pasu untuk beliau menjadi perwakilan ke perhimpunan agung UMNO pada tahun 2006 dahulu.

Di sebaliknya sekarang ini tidak kedengaran suara mempertahankan Najib dikalangan pimpinan UMNO selain dari sekali sekala kedengaran Ketua Pemuda Khairy membela beliau dalam beberapa isu. Sesungguhnya Najib merupakan seorang ‘orphanage leader’ yang hanya dapat pembelaan mungkin dari isterinya sahaja. Satu dua insiden kedengaran Ahli Parlimen Kota Belut, seorang Menteri baru yang bernama Rahman Dahalan yang membela Najib dengan sambil lewa sahaja.

Kalaulah keadaan ini berlaku semasa tahun tujuh puluhan dahulu, seorang Perdana Menteri yang berada dalam situasi seperti Najib ini pasti akan meletakkan jawatan jika sudah ada tanda-tanda pemimpin mereka itu tidak mendapat sokongan padu dari ahli partinya. Pemimpin itu tidak akan bertahan kerana takut partinya akan perpecah belah dan mereka rela melepaskan jawatan tertinggi mereka demi kelangsungan perpaduan diantara ahli parti dan rakyat.

Saya ingin mengingatkan insiden-insiden yang masih segar dalam ingatan saya tentang isu isu ini yang anak-anak muda sekarang mungkin menganggapnya sebagai ganjil. Walaupun ia berlaku lebih tiga puluh tahun dahulu saya tetap ingat dan menjadikan sikap yang diambil oleh pucuk pimpinan semasa itu sebagai tauladan baik yang sepatutnya di ikuti oleh pimpinan hari ini.

Tetapi ia tidak ditauladani lagi kerana nilai kepimpinan sekarang sudah jauh berbeza kerana nilai yang baik dahulu itu tidak di gilapkan oleh pucuk pimpinan yang bernafsu kuat untuk berkuasa berseorangan. Nilai kepimpinan seperti itu sudah dianggap ‘out-of- date’ kata setengah yang baru main politik, hari ini.

Tun Hussein Onn merupakan contoh yang terbaik untuk kita buat contoh dalam isu ini. Selepas sahaja beliau ditentang oleh Hj Sulaiman Palestin sebagai Presiden UMNO pada tahun 1978 dahulu, beliau terus mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan 1981 nanti. Beliau tahu walaupun beliau memenangi undi dengan majoriti yang sangat besar, beliau tahu ada sedikit dikalangan pimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak menyokong beliau.

Beliau juga tahu yang beliau telah di sabotaj oleh Timbalannya sendiri yang tidak sabar mahu mengambil alih kepimpinan negara dari beliau. Hakikatnya penyertaan Hj Sulaiman Palestin untuk menandingi beliau adalah dari galakan ‘invisible hands’ yang mahu beliau berundur secepatnya kerana mahu mangambil alih kepimpinan negara itu. Beliau mengundurkan diri bukan kerana penolakan rakyat yang ramai tetapi oleh kerana ‘insubordinations’ yang dilakukan oleh pimpinan yang hampir dengan beliau.

Menyedari keadaan ini beliau mengambil keputusan untuk memberikan sahaja jawatannya kepada orang yang tidak sabar mahukan jawatan itu. Maka pada tahun 1981, Hussein tidak mempertahankan jawatannya dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir secara percuma.

Pada perhimpunan itu dalam ucapan penangguhan Dr Mahathir telah mengucapkan kepada semua pihak kerana memberikan sokonagn terhadap beliau menerajui negara dan dengan nada yang jelas beliau telah meminta semua pihak memberi tahu beliau yang jika ada tanda-tanda yang menunjukkan ada yang tidak menyokong beliau lagi, supaya memberitahu beliau. Kata beliau yang beliau akan mengundurkan diri secara terhormat.

Beliau berkata demikian kerana beliau tahu yang Hussein bersara kerana kerenah beliau sendiri dan kata-kata itu tidak lebih dari mulut manis dengan janji-janji yang tidak akan terkota. Pada perhimpunan itu jugalah Dr Mahathir memulakan permainan politik 'pecah perintah' dengan berlaganya dua tokoh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan yang amat sengit buat pertama kalinya dalam sejarah kewujudan parti UMNO itu.

Dr Mahathir merasakan semua yang berada disekeliling beliau itu meresahkan beliau. ‘Inferiority complex’ yang menebal dalam diri beliau membuatkan beliau tidak boleh selesa dan siapa sahaja yang mempunyai kepimpinan tidak disenangi oleh Dr Mahathir. Secara sistematik mereka yang berkepimpinan hilang dari barisan kepimpinannya dan akhirnya beliau dikelilingi oleh mereka yang ada sekarang ini yang tidak pernah diperlukan pemikiran mereka oleh Mahathir.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir semuanya tidak perlu berfikir kerana hanya beliau sahaja yang boleh berfikir. Ahli-ahli kabinetnya tidak perlu berfikir dan tugasan mereka amat mudah dan senang...hanya jadi burung balam dan bertepuk tangan jika beliau perlukan tepukan itu. Segala institusi demokrasi dikuasai oleh eksekutif dan sampai ke hari ini institusi itu belum lagi 'kebah dari sakit' hasil kerja tangan Dr Mahathir itu.

UMNO mula berpecah belah dan buat kali pertamanya rasa resah gelisah dikalangan ramai pemimpin kerajaan dari UMNO mula timbul. Dalam masa lima atau enam tahun pentadbiran beliau, sudah mula terserlah budaya pemimpin yang ingin menjadi kaya raya.

Budaya rasuah mula berputik dengan cepat melalui projek 'express' dengan penganugeraham kontrak secara runding terus yang kini sudah menjadi budaya dalam kerajaan semata-mata untuk memberikan ‘duit luar’ yang begitu besar jumlahnya tanpa memikirkan isu-isu yang berkepentingan rakyat. Inilah warisan Dr Mahathir yang paling besar kepada negara.

Budaya songsang pentadbiran kerajaan hari ini bermula dari Dr Mahathir dan ianya diwariskan kepada pentadbiran Pak Lah dan sekarang kepada Najib. Acuan ini sudah begitu 'terpahat' ke dalam sistem pentadbiran negara kita dan siapa pun dikalangan yang ada dalam MKT parti itu semuanya dari acuan itu.

Tiada ulasan: