SHAH ALAM: Kenyataan seorang menteri berhubung 17,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang enggan menerima bantuan tersebut dianggap melucukan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya berasa geli hati apabila seorang menteri menyifatkan keengganan 17,000 golongan individu menerima BR1M sebagai bukti kematangan rakyat di negeri ini.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan gagal memahami sentimen rakyat. Kegagalan parti politik untuk memahami permasalahan dan keperluan masyarakat merupakan satu kerugian besar dalam bidang politik,” katanya yang dipetik dari blognya, Chedet.com, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, penolakan itu membuktikan rakyat Malaysia semakin ‘matang’ dan tidak memerlukan bantuan dari kerajaan.
"BR1M tahun ini agak luar biasa kerana masyarakat kita makin matang. Ada 17,000 penerima BR1M 2.0 tahun lalu yang tulis surat kepada kita menyatakan bahawa keluarga mereka tidak memerlukan BR1M.
"Walaupun sebahagian besar daripadanya masuk dalam senarai penerima tetapi merasakan bahawa mereka bukan keluarga yang memerlukan," katanya yang turut memaklumkan nama 17,000 penerima itu akan dikeluarkan daripada senarai penerima BR1M.
Tambah Mahathir lagi, kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion kepada 7 juta rakyat Malaysia dan ianya disifatkan satu pembaziran dengan jumlah yang besar.
“Masih terdapat golongan individu atau keluarga yang miskin di negara ini, kita sepatutnya menggunakan peruntukan tersebut untuk membantu mereka,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan