Mayat wanita jadi santapan biawak Mayat dipercayai seorang wanita ditemui di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, kelmarin.
IPOH: Mayat dipercayai seorang wanita, ditemui dalam keadaan mengerikan dengan dikerumuni sekumpulan biawak di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, kelmarin.
Difahamkan, mayat tersebut dijumpai seorang nelayan berusia 20-an yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah pada kira-kira jam 7 petang.
Dia yang enggan dikenali berkata terlihat sekumpulan biawak sedang memakan bangkai ketika melalui kawasan berhampiran pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
"Saya pergi dekat dan memberanikan diri untuk melihat apa yang biawak itu makan dan alangkah terkejutnya saya apabila lihat bangkai itu adalah manusia.
“Dalam keadaan panik saya segera memberitahu orang lain dan memaklumkan perkara tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada kira-kira jam 7.15 petang.
Beliau berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat dipercayai wanita di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dihanyutkan arus sebelum tersangkut pada pokok nipah berhampiran pelantar tempat nelayan meletakkan bot dan sampan.
“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati, beberapa bahagian isi dari tubuh mangsa termasuk isi perut hilang, dipercayai dimakan biawak.
“Kami turut menemui seutas rantai emas, dua cincin, gelang manik berwarna hitam serta jam tangan pada mangsa," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang pengenalan diri ditemui.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum Unit Patologi mengarahkan supaya ia dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Siasatan bagi kes ini masih diteruskan dan kami berharap melalui bedah siasat yang dijalankan, punca sebenar kematian serta identiti mangsa dapat dikenal pasti," katanya.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan