"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alasan speaker tolak usul Shafie mengejutkan - Aziz Bari

Alasan Speaker Dewan Rakyat, Ariff Md Yusof menolak usul Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal dalam memulakan usul undi percaya terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad adalah mengelirukan dan mengejutkan, kata Adun Tebing Tinggi, Dr Aziz Bari.

Mengulas mengenai peruntukan yang dipetik oleh Ariff semasa menolak usul tersebut, Aziz yang juga pakar perundangan berkata, meskipun Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai usul undi percaya, tetapi peruntukan itu secara jelas membenarkan usul itu dibentangkan di Parlimen.

“Bila? Bila-bila masa. Sebenarnya hal ini biasanya difahami di dalam sistem Westminster, bahawa jika kerajaan ditewaskan dalam Parlimen berhubung dasar-dasar utama seperti ketika (pembentangan) belanjawan atau langkah-langkah berkaitan Covid-19, maka ia (pemerintah) mesti meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk melantik perdana menteri dan Parlimen boleh menyaksikan sama ada terdapat sokongan minimum atas pelantikan itu atau tidak.

Semalam, Ariff menolak usul Shafie untuk memulakan usul undi percaya terhadap Mahathir.

Ariff berkata, berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, beliau mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka dalam urusan pelantikan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun menurut Aziz, Seri Paduka merupakan raja berperlembagaan dan istilah “budi bicara” (discretion) yang digunakan dalam Perkara 43 (2)(a) perlu difahami dalam konteks perlembagaan.

Beliau turut menyentuh tentang beberapa peruntukan lain dalam Perkara 43, di mana ia menimbulkan persoalan besar mengenai penolakan speaker berhubung usul Shafie.

“Kita tidak tahu sama ada usul yang dikemukakan oleh ahli parlimen Semporna itu akan berjaya atau sebaliknya. Tetapi alasan menolak usul tersebut yang menjadi isunya sekarang,” katanya.

Dalam notis Shafie, beliau menegaskan bahawa usul itu bukanlah untuk mencanggahi kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri.

Sebaliknya, jelasnya, ia bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Susulan penolakan itu Malaysiakini difahamkan Dr Mahathir telah menghantar satu notis berasingan, kali ini bertujuan membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Tiada ulasan: