"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M hantar notis usul tak percaya terhadap PM dan Shafie Afdal hantar notis percaya terhadap Dr Mahathir

B Nantha Kumar

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad telah menghantar notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Surat kepada speaker telah dihantar. Usul berkenaan telah difailkan oleh (anggota parlimen) Langkawi," kata sumber yang boleh dipercayai kepada Malaysiakini.

Jelasnya, ini berbeza dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) Eddin Syazlee Shith bahawa Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima sebarang usul berkenaan.

"Ini timbalan menteri bercakap dalam perkara yang dia tidak tahu.

"Dia komen perkara yang dalam ruang lingkup kuasa speaker. Sepatutnya speaker yang beri ulasan jika perkara menyentuh usul sebab suatu usul itu perlu diserahkan kepada speaker," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, anggota parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan dan kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.

Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, anggota parlimen masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.

Malaysiakini telah menghubungi sekretariat PH untuk mendapatkan ulasan.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai usul tersebut, sumber itu yang merupakan seorang pemimpin kanan dalam PH berkata adalah menjadi tanggungjawab Muhyiddin untuk membuktikan beliau mendapat majoriti mudah di parlimen.

Katanya, usul berkenaan dimasukkan di bawah aturan 26(1) dan dibaca bersekali dengan 27(3) Peraturan Mesyuarat.

"Sesuatu usul di bawah aturan 26(1) tidak boleh ditolak oleh speaker.

"Namun, pada hari tersebut jika kerajaan PN memasukkan usul dari pihak kerajaan maka peraturan mesyuarat menyebut bahawa usul kerajaan hendaklah didahulukan.

"Dalam kata lain kerajaan PN boleh "frustrate" usul pembangkang hanya dengan memasukkan urusan kerajaan. Usul pembangkang itu akan kekal dalam 'order paper' tapi tidak berpeluang untuk dibahas dan diundi," katanya lagi.

Sidang parlimen yang akan datang hanya akan diadakan sehari iaitu pada 18 Mei bagi membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Bagaimanapun, pembangkang menggesa sidang itu diadakan selama dua minggu memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dilonggarkan.

Parlimen tempat uji sokongan terhadap Muhyiddin

Sambil mengakui PH mengambl maklum dan amat prihatin mengenai masalah dihadapi rakyat akibat Covid-19, sumber menegaskan usul terhadap Muhyiddin perlu dilakukan bagi membuktikan tahap sokongan terhadapnya.

"Ia adalah tentang keseimbangan antara legitimasi sebuah kerajaan dengan tanggungjawab bersama membantu rakyat dalam menghadapi krisis Covid-19.

"Penting untuk membuktikan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti setelah pada Februari, Yang Dipertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ) melantik beliau sebagai perdana menteri yang pada kepercayaan baginda bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

"Parlimen adalah tempat untuk menguji sokongan itu. Ini soal legitimasi sesebuah kerajaan dan parlimen adalah saluran yang sah," katanya.

Sementara itu, PH juga telah menghantar cadangan nama ketua pembangkang kepada Yang Dipertua Mohamad Ariff Md Yusoff.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan siapakah calon PH sebagai ketua pembangkang.

"Pembangkang juga akan bersedia mencadangkan nama pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika kerajaan masih memperuntukkannya kepada ahli parlimen pembangkang," jelasnya..

Selain itu, PH juga akan berbincang mengenai susunan tempat duduk parlimen, katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tempat duduk anggota parlimen akan disusun semula untuk memastikan penjarakan sosial semasa dewan bersidang.

Timbalan Speaker Mohd RashidHasson dipetik sebagai berkata, pengerusi baru PAC akan dilantik bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya Dr Noraini Ahmad.

Shafie Apdal hantar notis undi percaya Dr M
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah menghantar usul untuk memulakan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen.

Langkah itu bagi membuktikan MP Langkawi terbabit masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, yang merupakan syarat untuk seseorang menjadi perdana menteri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Yusof mengesahkan menerima notis usul tersebut yang bertarikh 1 Mei.

Shafie yang juga MP Semporna berkata di dalam notis itu, bahawa beliau tidak berniat bercanggah dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, tetapi sebaliknya langkah itu bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selanjutnya, dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa melantik seorang perdana menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh rakyat jelata dan juga sebagai sembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong/Istana Negara," kata notis itu yang dilihat Malaysiakini.

Ketika dihubungi tengah hari tadi, Mohamed Ariff turut mengesahkan menerima notis berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Katanya, setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

“Tunggu kenyataan penuh oleh setiausaha Dewan Rakyat esok,” katanya melalui satu pesanan teks.

Malaysiakini sudah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas daripada Shafie.

Tiada ulasan: