"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Onn Hafiz cuba mendahului Sultan Johor

AMNI JAGAT
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam yang mempergunakan nama Sultan Johor dilihat cuba mendahului baginda.

Mengulas perkara itu, Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Azam Mektar berkata, Onn Hafiz tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah kuasa istana berada di tangannya.

Katanya, beliau yakin Tuanku Sultan Sultan Johor mempunyai kebijaksanaan dalam menguruskan kemelut politik yang melanda negeri dan ia tidak memerlukan campur tangan mana-mana pihak.

“Mengapa Onn Hafiz mahu memikirkan soal pembubaran DUN hari ini, mengapa tidak pada ketika mereka mahu merampas kuasa di Johor?

“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga sebuah kerajaan yang diiktiraf oleh Tuanku Sultan Johor. Justeru, kenyataan Onn Hafiz mengesahkan Perikatan Nasional (PN) juga adalah golongan yang membelakangkan titah Sultan Johor dengan merampas kuasa dari kerajaan yang diiktiraf oleh Tuanku,” katanya.

Onn dalam satu kenyataan semalam menggesa PH negeri “berhenti mengaburi dan mengelirukan rakyat dengan pembohongan” berhubung jumlah kerusi bagi tujuan pilihan raya peringkat negeri.

Katanya, Sultan Johor telah mengingatkan pada sidang DUN lepas bahawa sekarang bukan masa untuk semua wakil rakyat negeri bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

“Mereka (Rakyat) mahukan pemimpin yang ikhlas mewakili mereka dan gigih bekerja di kawasan masing-masing. Pemimpin yang fokusnya pada ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan memperbaiki keadaan semasa semata-mata demi negeri dan rakyat,” ujarnya lagi.

Reaksi Onn itu susulan kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan PN sebelum persidangan Parlimen pada Julai nanti.

Meraih simpati

Mengulas lanjut, Azam menggesa agar cara berpolitik yang menggunakan nama Sultan Johor demi meraih simpati baginda itu dihentikan.

“Onn Hafiz tidak perlu menggantikan tempat Tuanku Sultan dengan mencadangkan perkara yang jelas akan menghuru-harakan negeri Johor,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Azam yang juga Exco Pemuda AMANAH Nasional mengajak Onn untuk membaca portal berita harian agar cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar itu sedar akan perjuangan AMANAH yang selama ini mengutamakan rakyat.

Tambahnya lagi, tahap pembacaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia Dan Sukan negeri itu
perlu ditambahkan agar beliau mampu untuk mengetahui permasalahan sebenar rakyat.

“Saya nasihatkan agar Onn memerhatikan nasib belia di Johor daripada sibuk bersuara berkenaan kemelut politik Johor.

“Sekiranya, Umno dan Onn rajin membaca, pastinya mereka tahu berkenaan perjuangan AMANAH yang sentiasa mendahulukan rakyat.

“Akibat kesombongan membuatkan Onn dan Umno ketinggalan untuk cakna dalam perjuangan AMANAH sebelum ini.

“Lebih baik beliau fokus berkenaan anak muda yang semakin hilang tempat dalam perkerjaan di Johor,” kata Azam lagi.

Untuk rekod, Umno dan DAP di Johor masing-masing mempunyai 14 kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN manakala Bersatu (11), AMANAH (9), PKR, (5), MIC (2) dan bakinya kerusi tunggal dimiliki Pas.

Tiada ulasan: