Annabelle Lee
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengancam akan mendedahkan salah laku kerajaan sekiranya tidak berhenti menggunakan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengganggu pembangkang.
Pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini beliau juga mendakwa kerajaan PN secara tidak langsung menggunakan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan menteri sebagai rasuah.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed, yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM, dilihat berada di pejabat Mahathir, tetapi tidak jelas mengapa beliau berada di sana.
Bercakap mengenai dakwaan gangguan berkenaan terhadap Pemuda Bersatu, Mahathir berkata sekiranya taktik yang digunakan pada era Najib Razak ini tidak dihentikan, beliau akan mendedahkan semua salah laku mereka.
"Kita terkejut bahawa SPRM melakukan ini, menahan orang, menyoal mereka dan semua ini.
"Sekiranya mereka tidak (berhenti) kita harus secara aktif mendedahkan semua kesalahan yang mereka lakukan," katanya.
Mahathir menolak untuk menjelaskan apa yang akan beliau dedahkan, tetapi mengatakan perkara itu tidak melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Berikutan sidang media bekas perdana menteri itu, anggota Pemuda Bersatu, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin menunjukkan kepada media laporan polis yang dibuatnya dengan mendakwa dia dan ahli parti lain disoal siasat secara berasingan selama beberapa jam oleh SPRM pagi ini.
Adam juga merupakan pegawai media Mahathir.
Sementara itu, Siti Nurul Hidayah, pembantu peribadi Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga mendakwa beliau telah diperlakukan secara tidak adil ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM.
Menurut laporan polisnya, Siti mengatakan beliau telah dipanggil untuk disoal sebanyak tiga kali sejak April.
Siti mendakwa pegawai SPRM telah merampas telefon bimbitnya, melemparkan telefon kepadanya, menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, mengancam untuk menamparnya, menendang kerusi dan mematikan lampu semasa sesi soal jawab.
Siti mendakwa dia dipaksa menjawab soalan mengenai kehidupan peribadi Syed Saddiq dan percaya taktik pegawai berkenaan adalah untuk menekannya supaya mengakui maklumat yang melibatkan bekas menteri berkenaan.
Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan