"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah pemimpin Bersatu sanggup terima pencuri sebagai pemimpin?

ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan sama ada anggota Bersatu sanggup untuk menerima pencuri sebagai pemimpin.

Menurutnya, kemenangan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disebabkan sokongan rakyat dalam usaha menumbangkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dakwaan berkaitan penyelewengan dana kerajaan.

Walau bagaimanapun, Mahathir kesal apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

“Rupa-rupanya ramai juga orang Malaysia yang sanggup menerima pemimpin yang telah curi berbilion duit kerajaan.

“Antara mereka ialah pemimpin dan ahli Parti Bersatu yang dahulu menyertai Bersatu konon kerana berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri yang curi berbillion duit Kerajaan.

“Mereka bekerjasama dengan parti pembangkang dahulu yang mempunyai tujuan yang sama. Dan rakyat pun beri kemenangan kepada mereka kerana percaya keikhlasan janji parti-parti ini sertai pemimpin mereka.

“Apabila menang Presiden Parti Bersatu rancang bersama parti yang kalah untuk keluar dari Kerajaan Pakatan Harapan supaya jatuhlah Kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin pada 24 Februari lalu mengumumkan Bersatu keluar daripada PH. Keputusan itu, katanya, hasil mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti sehari sebelum itu.

Muhyiddin memberitahu semua Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mahathir menyelar tindakan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dengan sokongan “pemimpin pencuri” dan gabungan bersama parti yang kalah yang diberi nama Perikatan Nasional.

“Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin. Okaylah – asal dapat nikmat.

“Apa jadi kepada ikrar dahulu untuk lawan dan jatuhkan pemimpin kleptokrat? Oh. Itu ikrar sahaja untuk dapat sokongan pengundi. Sekarang sudah dapat lupakan sahaja,” tempelak Mahathir dalam blognya, Chedet.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Bersatu akan hancur manakala tidak diketahui bagaimana perjuangan untuk menyelamatkan orang Melayu daripada pemimpin kleptokrat.

“Itu masalah Bersatulah. Asalkan kita dapat nikmat okaylah. Di masa hadapan orang tidak lagi akan percaya kita – tak apakah?

“Itu masa depan. Demikian sikap beberapa pemimpin dan ahli Bersatu,” bidas Mahathir lagi.

Kemelut Bersatu antara kem Muhyiddin dan Mahathir yang mengaku masih memegang jawatan pengerusi parti berlarutan selepas Mahathir bertindak meletak jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu.

Tindakan Mahathir yang menggemparkan itu sekali gus menyaksikan runtuhnya kerajaan PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi hilang majoriti.

Malah, beliau enggan mengubah pendirian tersebut walaupun Yang di-Pertuan Agong telah cuba memujuknya supaya tidak meletak jawatan.

Pergolakan kemudiannya memuncak apabila Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin seperti disahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof pada 8 Mei lalu.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengemukakan usul tersebut pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Selanjutnya, dalam istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu pula, Mahathir dan empat Ahli Parlimen Bersatu termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz duduk di blok pembangkang.

Ekoran itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 29 Mei memberitahu keahlian Mahathir dan empat lagi pemimpin parti itu terhenti kerana melakukan tindakan yang bercanggah dengan parti.

Kata Hamzah, tindakan bertentangan itu termasuk duduk di kerusi pembangkang ketika pembukaan Parlimen 18 Mei lalu, serta menyatakan secara terbuka untuk menggugurkan Muhyiddin.

Tiada ulasan: