Muhaimin Sulam
Dulu PAS bercita-cita mahu jadi 'pencatur raja' (king maker). Biarlah PH atau BN yang menang dalam pilihan raya umum (PRU) tetapi PAS tetap memiliki kuasa tawar-menawar untuk memelihara kepentingan parti itu.
Oleh itu, dalam PRU lalu, PAS melawan dua 'musuh' sekali gus. Bukan calang-calang parti gagah itu berseteru dengan lawan dari atas dan dari bawah, dari kiri dan dari kanan.
Ramai yang ketawa, sinis dan termangu. Saya hanya melihat dan menunggu sama ada memang benar-benar bulan jatuh ke riba atau PAS cuma pungguk yang merindukan bulan.
Ternyata pada PRU lalu pendekatan politik PAS bahkan menyebabkan Umno tumbang untuk pertama kali dalam sejarah politik negara.
PAS bukan ‘kacau daun’ untuk PH tetapi memang menjadi ‘pencatur raja’ dalam PRUI lalu. PAS yang mengangkat PH jadi kerajaan walaupun tidak mereka pernah sesaat pun tenang berada di bawah PH.
Hingga kini PAS kekal menjadi ‘pencatur raja’ biar nampaknya gembira bersanding di atas takhta dengan Muhyidin Yassin, Azmin Ali dan Zahid Hamidi.
Memang Umno menggelupur bagai ikan yang terdampar di tanah gersang. PH harus ambil tahu bahawa pendekatan PAS membolehkan gabungan itu menjadi kerajaan Persekutuan dan berkuasa di lapan negeri.
Cuma PH tidak perlu berterima kasih kepada PAS. PH tetap musuh PAS selagi DAP dan Amanah ada di dalamnya.
Penyelamat kerakusan dan kejahilan
Dalam nyawa-nyawa ikan Umno kembali bernafas segar apabila idea penyatuan Melayu Islam mendapat dalil selepas sekian lama dicari-cari. PAS dan Umno kembali berada pada landasan perjuangan nasionalisme Islam era kepimpinan para ustaz-ustazah beberapa dekad lampau.
Meski masih belum sepenuhnya serasi hingga ke akar umbi, perkembangan politik tanah air selepas PH menguasai Putrajaya sangat mempunyai nilai politik yang mahal.
Dalam politik sebenar (real politic), idealisme perjuangan sering ditangguhkan atas kemaslahatan yang lebih besar. Ada fiqh yang digunakan dalam membuat hujahan yang boleh diterima oleh penyokong di peringkat akar umbi.
Berada di atas satu pentas dengan PAS adalah detik bermakna buat Umno. Ia akan dikenang dalam lipatan sejarah politik pada masa hadapan negara. PAS juga yang menjadi penyelamat kejahilan dan kerakusan Umno selama ini.
Yang penting, Umno kembali bernyawa dan sedang belajar mengaum dan menerkam mangsa. Saat itu, PH berada kesukaran bergelut dalam sistem tinggalan Ummo selama ini.
Para birokrat, kapatalis, sarjana dan aktor-aktor negara masih berkarat dengan sistem regim lama.
Reformasi instituisi yang dilakukan oleh PH tidak mungkin diteruskan oleh PN. Reformasi itu bersifat agak struktural dan jika diteruskan, boleh menghakis dominasi saki-baki regim yang telah berakar umbi.
PAS dan PN adalah sebahagian daripada saki-baki regim yang membentuk sistem dan struktur pentadbiran yang ada pada hari ini. Meneruskan reformasi instituisi PH bermakna menamatkan hayat PAS dan PN untuk terus berkuasa.
PAS sudah sampai kemuncaknya. PAS mungkin terbang lebih tinggi. PAS boleh mengapai bulan mengambang. PAS mungkin juga boleh terjunam membunuh diri jika tidak berhati-hati saat kritikal sebegini.
Sebagai parti yang berpengalaman, PAS tentu lebih tahu langkah selanjutnya yang boleh menguntungkan parti dan pemimpinnya.
Manakala Amanah akan ketinggalan jauh sekiranya masih berpegang pada prinsip perjuangan sebagaimana tercatat dalam buku, dokumen dan minit mesyuarat.
Inilah kelemahan paling ketara dalam Amanah. Parti itu rela hilang kerajaan dan kuasa asal saja tidak melanggar prinsip perjuangan dan setiakawan.
PAS parti paling beragama
PAS pula menemui dirinya setelah sekian lama mencari-cari makna kuasa dan politik. Menyingkirkan Mat Sabu, Salahudin Ayub dan rakan-rakan mereka adalah langkah sebagai ‘pencatur raja’ paling tersusun. Bak kata Sayidina Ali, kebatilan yang tersusun akan menewaskan kebaikan yang tidak tersusun.
PAS tidak boleh menoleh ke belakang seperti ahli sejarah yang terlalu asyik dengan dokumen dan rekod lama. Jangan. PAS juga tidak boleh terlalu futuristik macam pakar motivasi. Pendekatan politik terkini PAS sememangnya berada pada landasan paling tepat.
Jika perlu penambahan rencah dan bumbu, tekankan terus unsur rohani mistik seperti mimpi, ilham para malaikat, bantuan dari langit yang pastinya membawa kesan berganda buat mereka.
Abaikan saja pendapat Liew Chin Tong yang menganggap PAS tersalah haluan. Chin Tong berasa bahawa haluan yang diambil oleh PAS yang dipimpin oleh golongan asolah (purists) adalah salah.
Golongan ini hanya mahu menumpukan kuasa politik di kawasan orang Melayu Islam seperti di negeri-negeri pantai timur.
Golongan asolah telah memadamkan ijtihad pimpinan PAS yang disebut sebagai golongan pengarus perdana (mainstreamer) seperti Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz.
Legasi mereka tinggal kenangan. PAS telah membuka buku baru. Golongan asolah telah membentuk pemikiran baru yang lebih realistik. Siapa terfikir bahawa PAS berada di persada politik pada hari ini?
Bab pertama yang perlu dihadam ialah bagaimana menguruskan khazanah negara dengan jawatan yang ada.
Chin Tong mungkin terlepas pandang bahawa PAS adalah parti politik paling beragama. Chin Tong - walaupun lulusan sains politik yang menjadi pemain politik - dia tidak mendapat tarbiyah PAS.
Oleh itu pertimbangannya hanya berasaskan ilmu dan pengalaman yang dilalui sahaja. Ia tidak memadai.
Sebagai parti Islam, PAS sudah masak selok-belok politik Malaysia. Dari dikenali sebagai Pan-Malayan Islamic Party hingga Parti Islam Semalaysia, PAS sudah ada eksiklopedia politik sendiri.
PAS perlu istiqamah dengan haluan yang dibawa sekarang. Ini bukanlah satu nasihat, tapi satu pandangan yang mungkin boleh diabaikan saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan