Kow Gah Chie
Sumber yang dekat dengan kepemimpinan Bersatu Johor mengakui bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu berada dalam keadaan tidak menentu sekarang.
Bercakap kepada Malaysiakini, sumber itu mendedahkan PN boleh kehilangan Johor jika ada Adun dari Bersatu menarik balik sokongan mereka kepada gabungan yang masih 'muda' tersebut.
Enggan didedahkan identitinya sumber itu mengulas mengenai jangkaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, mengenai perubahan kerajaan di pusat menjelang sidang parlimen Julai ini.
Kata sumber terbabit, dia sependapat dengan Salahuddin kerana keadaan majoriti yang tipis memihak kepada PN di Johor iaitu hanya dibezakan dengan dua kerusi saja berbanding Pakatan Harapan (PH).
Ditanya mengenai kemungkinan ada Adun Bersatu kembali menyokong PH, sumber itu menjawab: "Jika bukan mereka, siapa lagi dari pihak ini (PN)?"
Bagaimanapun dia enggan menamakan wakil rakyat terbabit sebaliknya menjelaskan memang wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan Bersatu dan Umno di Johor.
"Dulu kita dalam PH pun ada yang tak puas hati, sekarang dalam PN pun ada.
"Walaupun tak ada orang yang sempurna, kita mahu hak kita," katanya lagi.
Hilang jawatan MB
Ditanya bagaimana keadaan itu boleh diperbaiki, sumber terbabit berkata, ketika ini memang kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan keadaan semasa dan mahukan hak masing-masing.
Antara isu yang menyebabkan rasa tidak puas hati Bersatu ialah hilangnya jawatan menteri besar daripada parti itu.
Untuk rekod, keputusan pilihan raya umum (PRU lalu menyaksikan BN tumbang buat pertama kali - masing-masing di peringkat pusat dan Johor - kepada PH.
Bersatu merupakan parti termuda dalam gabungan PH ekoran pemecatan timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin, serta beberapa pemimpin kanan lain.
Mereka - dengan disertai bekas presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad - kemudian menubuhkan Bersatu. Kejayaan PH membolehkan Bersatu memiliki menteri besar di Johor, Kedah dan Perak.
Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal
Kesepakatan dalam PH juga menyaksikan Bersatu menjadi menteri besar di Perak walaupun mereka mempunyai seorang saja Adun ketika itu.
Langkah Sheraton kemudian menyaksikan Muhyiddin membawa sebahagian besar wakil rakyat Bersatu meninggalkan PH untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS, selain MCA dan MIC.
Perkembangan itu menyaksikan Bersatu kehilangan jawatan menteri besar di Johor dan Kedah, masing-masing kepada Umno dan PAS.
Bekas menteri besar Johor dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal, kemudian dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Bersemuka dan melalui telefon
Sumber itu berkata jika kerajaan negeri kembali ke tangan PH, Bersatu mahu agar jawatan menteri besar dikembalikan kepada mereka.
"Yalah, Bersatu ni... dia sudah ada perjanjian asal - Bersatu mentadbir beberapa buah negeri (seperti) Perak, Johor, Kedah dan Perlis.
"Sebab itulah consensus asal, apabila menang saja kerusi Johor, bagi bersatu... itu persetujuan asal," katanya.
Sementara itu sumber dalaman PH Johor pula berkata ada beberapa Adun Bersatu menghubungi gabungan berkenaan sejak bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk mengubah sokongan mereka.
Enggan menamakan Adun terbabit, sumber PH itu berkata mereka menyatakan beberapa syarat sebagai pertukaran sokongan tersebut.
"Ada lebih daripada separuh Adun Bersatu berhubung dengan PH. Mereka menghubungi kami melalui telefon atau bersemuka dan sudah tentu ia datang dengan syarat," katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod PN menguasai 29 daripada 56 kerusi DUN Johor membabitkan 14 Umno, 11 Bersatu, dua MIC dan satu PAS. Seorang Adun bebas pula menyatakan sokongan kepada PN.
PH pula menguasai 27 kerusi membabitkan 14 DAP, sembilan Amanah dan empat PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan