"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DSA: Pakistan Dedah Kereta Kebal Terbarunya “Haider”, Hasil Kerjasama Rapat Dengan China

BERITAINTERNATIONALTEKNOLOGI KETENTERAAN
Haider
"Haider"
(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Baru-baru ini, Pakistan telah mendedahkan kepada awam kereta kebal utamanya yang baru dinamakan “Haider”, yang dibangunkan hasil kerjasama di antara syarikat pertahanan negara itu dengan China.

Majlis mendedahkan kereta kebal utama terbaru Pakistan itu turut disaksikan oleh Panglima Tentera Darat negara itu Syed Asim Munir.

Dibangunkan oleh syarikat pertahanan Pakistan, Heavy Industries Taxila (HIT) dan NORINCO daripada China, kereta kebal utama terbaru Pakistan itu merupakan bukti jelas tentang hubungan pertahanan dan ekonomi yang amat erat antara kedua-dua negara.

China merupakan pembekal senjata terbesar kepada Pakistan.

Selain kereta kebal utama “Haider”, Pakistan dan China turut bekerjasama membangunkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan juga Chengdu Aircraft Corporation of China.   

Menurut laporan sebelum ini, Pakistan telah bersetuju untuk membeli 674 buah kereta kebal VT4 daripada China, yang sebahagian besar daripadanya dipasang dan dihasilkan di kilang milik HIT di Pakistan.

Kemungkinan besar, kereta kebal utama terbaru “Haider” itu adalah kereta kebal VT4 China itu tetapi telah dilengkapi dengan komponen-komponen keluaran Pakistan itu sendiri bagi membolehkan ia diberikan nama terbarunya itu.

Kereta kebal utama VT4 atau MBT-3000 keluaran syarikat NORINCO daripada China itu merupakan kereta kebal generasi ketiga dan adalah varian eksport daripada kereta kebal Type 99 yang digunakan oleh Tentera Darat China.

“Haider” adalah kereta kebal terbaru industry pertahanan Pakistan, yang sebelum ini telah membangunkan kereta-kereta kebal buatan tempatan yang lain seperti “Al-Zarrar” dan “Al-Khalid.”

Mengenai kereta kebal utama “Haider”, ia direkabentuk secara konvensional dengan dioperasikan oleh tiga krew, dengan pemandu kereta kebal berada di bahagian hadapan.
Haider
“Haider”
Mengenai sistem persenjataannya pula, ia dilengkapi dengan meriam 125mm yang berkemampuan melancarkan pelbagai peluru seperti APFSDS, HE, HEAT dan juga peluru berpandu anti-kereta kebal.

Dengan kapasiti untuk membawa 38 butir peluru, kereta kebal utama “Haider” mampu berada lama di medan peperangan untuk memusnahkan lebih banyak sasaran.

Selain meriam, kereta kebal terbaru Pakistan itu juga dilengkapi dengan mesingan 7.62mm dan Remote Control Weapon Station (RCWS) dengan mesingan berat 12.7mm sebagai sistem pertahanan jarak dekatnya.

Untuk sistem pertahanannya, selain mesingan 7.62mm dan 12.7mm, kereta kebal utama “Haider” itu juga dilengkapi dengan sistem armor yang terdiri daripada teknologi armor komposit dan reaktif bagi melindunginya daripada pelbagai ancaman termasuk peluru berpandu anti-kereta kebal.

Mengenai enjinnya pula,  ia dilengkapi dengan enjin diesel yang memberikannya kuasa 1,200 kuasa kuda, transmisi otomatik bagi membolehkannya mencapai kelajuan 70km sejam untuk jarak operasi sejauh 500km.
Haider
“Haider”
Kereta kebal utama “Haider”juga dilengkapi dengan sistem kawalan tembakan (fire control system) yang canggih bagi membolehkan ia membedil sasaran di medan pertempuran dengan darjah ketepatan yang tinggi.

Sistem Fire Control System kereta kebal utama “Haider” itu juga dilengkapi dengan komputer ballistik yang melakukan kiraan bagi memastikan sasaran ditembak dengan tepat sekaligus memusnahkan ancaman. — DSA

Tiada ulasan: