"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang simpanan dalam Tabung Haji lesap

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Jabidah menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan wang simpanannya. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Jabidah menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan wang simpanannya. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
KUCHING: Bekas pegawai kanan kerajaan mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018.

Bagaimanapun, kehilangan wang itu hanya disedari Datuk Jabidah Monseri, 66, pada 30 November tahun lalu.

Jabidah berkata, selepas bersara di sebuah agensi kerajaan pada tahun 2017, beliau bertugas di sebuah anak syarikat milik universiti tempatan.

"Berikutan terlalu sibuk dengan tugas baharu, saya tidak mengemaskini akaun Tabung Haji, tambahan pula saya amat yakin dengan keselamatan wang yang disimpan di Tabung Haji.

"Pada tahun 2019, saya dilantik pula sebagai ahli suruhanjaya di agensi kerajaan dan bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji," katanya kepada wartawan NSTP.

Menurutnya, pada November tahun lalu, beliau terjumpa semula buku akaun Tabung Haji itu.

"Saya kemudian ke pejabat Tabung Haji di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun saya itu.

"Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74 sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000," katanya.

Menurutnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.

Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).

Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.

Berikutan itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita di sini pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga kini, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.

"Saya mengharapkan pihak Tabung Haji memberi maklum balas dan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan saya itu," katanya.

Tiada ulasan: