Harapandaily
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) meminta pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin supaya mencermin diri berkenaan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang tersebut terhadap kerajaan.
“Jadi apabila di Konvensyen PN hari ini, bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menuduh dan mendakwa Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim yang mentadbir sekarang sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya Muhyiddin Yassin melihat rekod lampaunya sendiri.”
Hassan menceritakan pengalamannya di bawah pemerintahan Perikatan Nasional. Ketika itu perdana menterinya adalah Muhyiddin.
“Pada satu hari saya berlepas selepas Suboh dari Johor untuk ke sidang Parlimen di Kuala Lumpur.Sesampainya saya di Bulatan Jalan Parlimen, Polis-Polis FRU lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk ke Parlimen.Saya dapati kemudian semua ahli Parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson dan Dr Mahathir Mohamad, ahli Parlimen Langkawi dan bekas Perdana Menteri ketujuh.
“Kami diberitahu bahawa Parlimen telah digantung dan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Darurat di seluruh Malaysia.
“Pada saya selaku ahli parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat bahawa tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan Parlimen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim sebagai tidak demokratik dan menekan kebebasan.
Ekoran itu Hassan telah memfailkan semakan kehakiman terhadap pengisytiharan darurat dan penggantungan parlimen.
Permohonan tersebut, walau bagaimanapun ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Kes tersebut kini di Mahkamah Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan