Erika George
am@hmetro.com.my
Pasukan SAR yang menjalankan kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh petang tadi. FOTO Ihsan Bomba
Kapit: Seorang lelaki terselamat manakala empat lagi masih hilang dalam insiden bot karam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong di Sungai Batang Baleh, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timothy Barat berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan oleh orang awam dikenali sebagai Moses Ngui berusia 47 tahun.
"Empat lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Iskandar Ibrahim, Jonthan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan.
"Pasukan anggota bomba dari BBP Kapit dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat selepas menerima makluman berhubung insiden pada jam 5.24 petang," katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurutnya, saksi kejadian mengatakan insiden berlaku jam 5 petang yang mana bot berkuasa tinggi 30hp itu dilihat karam berhampiran perairan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.
"Pasukan bomba memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan teknik pencarian secara permukaan dalam radius 1 kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat.
"Namun atas faktor keselamatan, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan disambung esok," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan