"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lans Koperal didakwa atas 24 pertuduhan rasuah

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa atas 24 pertuduhan rasuah bernilai RM9,400. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa atas 24 pertuduhan rasuah bernilai RM9,400. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membacakan 24 pertuduhan rasuah ke atas anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mohd Azlan Iswan, 35, yang dituduh menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM9,600 antara 2017 hingga 2018 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik itu didakwa menerima RM400 melalui 24 transaksi di sebuah bank di Sungai Petani.

Wang berkenaan diterima daripada seorang penyelia sebuah syarikat melalui akaun simpanan milik tertuduh mulai 3 Januari 2017 hingga 4 Disember 2018.

Tertuduh didakwa dalam keadaan mengetahui syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya membabitkan penugasan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori milik syarikat itu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 2 April ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Tiada ulasan: