Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Masa kamu (tertuduh) buat (rogol dan cabul), tak fikir ke isteri, anak-anak? Isteri kamu tengah sarat tapi kamu cari (melakukan) hubungan terlarang termasuk dengan emak mangsa."
Demikian teguran Hakim Mahkamah Sesyen sebelum menjatuhi hukuman penjara 69 tahun dan 20 sebatan terhadap seorang pekerja kontrak yang mengaku bersalah merogol dan mencabul anak angkatnya sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun berhadapan lima pertuduhan dengan empat daripadanya membabitkan kes rogol manakala satu amang seksual fizikal, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Ketika prosiding menjatuhi hukuman, isteri tertuduh yang sedang menunggu hari bersalin serta adik perempuannya kelihatan menitiskan air mata.
Sebelum menjatuhi hukuman, Abu Bakar memberitahu, mahkamah hanya mempertimbangkan pengakuan salah tertuduh dan faktor lain lebih kepada pemberatan hukuman berdasarkan kesalahan dilakukan tertuduh.
"Kes seumpama ini adalah memberi keutamaan kepada mangsa berbanding kamu, kerana kesan dialami atas perbuatan ini. Kes ini masih banyak, kadang-kadang saya tidak faham kenapa ia masih berlaku," katanya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kedua, dia didakwa merogol dan mencabul mangsa dalam kereta diparkir di sebuah kebun sawit di Tangkak dengan kedua-dua kejadian itu berlaku antara 8.40 hingga 9 malam, pada 15 Januari 2024.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan serta Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 14 akta sama bagi setiap pertuduhan.
Pertuduhan ketiga hingga kelima pula, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di tiga rumah berlainan di Muar sejak 2021 sehingga 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) AKKSTKK 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Manakala Seksyen 16 (1) pula, tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu setiap sekali sebulan ketika ibu dan adik beradik kanak-kanak itu berada di luar rumah.
Kejadian itu disedari nenek mangsa sebelum membuat laporan polis. Dua kejadian berlaku di Tangkak manakala tiga lagi berlaku di daerah ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana perlu menanggung dua anak dan isteri sarat anak ketiga serta ahli keluarganya manakala pihak pendakwaan memohon agak dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan pertama; tiga tahun, satu sebatan (kedua); manakala pertuduhan ketiga hingga kelima, masing-masing 15 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Hukuman tambahan bagi Seksyen 16 (1) pula, mahkamah menjatuhi penjara dua tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.
Hukuman seksyen ini berjalan sebagai hukuman kesalahan terdahulu selesai. Semua hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditahan pada 16 Januari 2024.
Ini bermakna, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 21 tahun dan 20 sebatan.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis dua tahun sebaik selesai menjalani semua hukuman selaras dengan peruntukan Seksyen 27 AKKSTKK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan