"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Elly Arifin: Dia raba saya atas, bawah sebanyak 3 kali

HARYATI KARIM
Elly Arifin pernah dicabul seorang lelaki berstatus pengamal perubatan yang merupakan kenalan keluarga sekitar dua tahun lalu. - SADDAM YUSOF
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Elly Arifin mendedahkan pengalaman pernah dicabul seorang lelaki berstatus pengamal perubatan yang merupakan kenalan keluarga sekitar dua tahun lalu.

Menurut Elly atau nama sebenarnya, Nurul Elyana Kamalul Arifin, 35, kejadian tersebut berlaku ketika dia ke kediaman individu berkenaan seorang diri untuk mengambil air penawar.

“Saya diminta ibu untuk berubat pulihkan semangat. Saya pakai baju sweater dan seluar yang besar, tiada yang ketat pun. Masa berubat, dia baca-baca pada air botol yang saya bawa dan dia minta saya minum sedikit.

“Selepas minum saya terus berada dalam keadaan separa sedar dan tiba-tiba tangan dia telah masuk dalam baju saya dan tengah meraba pada bahagian atas dan bawah sebanyak tiga kali.

“Saya rasa pelik sebab saya pernah lihat dia ubatkan orang tidak seperti ini. Saya paksa diri untuk sedar dan saya nampak wajah dia seperti orang tengah ghairah,” kata Elly.

Cerita Elly lagi, selepas sedar, dia cuba menolak perbuatan individu tersebut, dia telah diminta untuk minum sekali lagi air penawar itu.

“Kali kedua saya hanya letak di mulut tetapi tidak minum. Muka dia berubah seperti panik dan selepas saya minta diri untuk pulang, dia pesan sebanyak tiga kali supaya merahsiakan cara rawatannya daripada ibu saya.

“Apabila saya tanya kenapa, dia kata bukan semua orang boleh menerima cara rawatannya,” kongsinya lagi.

Selepas tiga hari kejadian, Elly membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur. Individu tersebut pun dihadapkan ke mahkamah dan mengaku bersalah dan telah bebas selepas membayar saman.

Namun, kerana kejadian tersebut sehingga kini Elly menghadapi trauma yang berpanjangan.

“Saya simpan dendam dengan dia sampai sekarang tetapi kalau boleh saya tidak mahu ingat kejadian tersebut.

“Orang ingat cabul itu perkara ringan, jujur selepas kejadian tersebut, saya balik rumah menangis dan ada waktu ketika tidur rasa seolah-olah ada orang tengah meraba.

“Masa itu baru saya tahu rasa trauma, bahkan jika abang saya sendiri terpegang bahu, saya akan terus ada tindakan refleks,” kata Elly.

Selepas kejadian yang menimpanya, Elly terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengambil berat tentang isu cabul.

“Saya dicabul dengan diraba skin to skin. Bukan sewenangnya kita hendak bagi badan kita orang lain sentuh terutama oleh individu yang dipercayai keluarga. Jadi, saya memberanikan diri berkongsi tentang kejadian ini untuk beri kesedaran pada umum.

“Tolong hargai perempuan dan kepada kaum perempuan dan wanita tolong berjaga-jaga. Buat orang di luar jangan anggap isu cabul ini sebagai remeh kerana setiap perempuan ada maruah,” ujar Elly.

Elly berkongsi mengenai episod hitam dalam hidupnya itu selepas majlis pelancaran filem Karsakoff lakonannya bersama Iqram Dinzly, Azhan Rani, Erra Fazira dan Ning Baizura.

Filem yang berkisar tentang dendam dan masalah mental itu akan mula ditayangkan di Astro First bermula 14 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: