"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima pelanggan restoran muntah darah lepas jamah ais kering 'beracun'

ADRIANA MROON AMBROSE 
Selasa, 05 Mac 20243:39 PM MYT
LIMA pelanggan muntah darah selepas menjamah sejenis hidangan pencuci mulut di sebuah restoran di India pada awal bulan ini.

Memetik laporan media antarabangsa, kejadian itu berlaku di Kafe Laforessta yang berlokasi di Sektor 90 Gurugram, New Delhi pada Sabtu lalu.

Ketika kejadian, mangsa, Ankit Kumar bersama isteri dan rakan-rakannya menjamu selera di premis berkenaan.

Video insiden berkenaan turut tular di laman media sosial dan menjadi bualan ramai di seluruh dunia.

Manakan tidak, melalui video yang dikongsikan itu kelihatan kesemua mangsa menjerit dan menangis kesakitan selepas menjamah makanan tersebut.

Pada masa sama, salah seorang mangsa dilihat muntah dengan lidahnya berdarah manakala seorang wanita lagi meletakkan ais ke dalam mulutnya bagi mengurangkan kesakitan.

“Kami tidak tahu apa yang mereka campurkan ke dalam pencuci mulut. Semua orang di sini muntah darah.

“Lidah mereka mengalami luka dan mulut mereka terasa pedih,” kata Kumar.

Dia kemudian meminta orang awam yang berada di premis itu untuk menghubungi pihak polis.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Kumar juga menunjukkan bungkusan pencuci mulut itu kepada pihak berkuasa.

“Menurut doktor, ia adalah ais kering dan berasid yang boleh menyebabkan kematian,” katanya lagi.

Menurut laporan sama, mangsa pada mulanya rasa terbakar di dalam mulut masing-masing, sebelum mengalami simptom lebih buruk iaitu muntah darah.

Meskipun mangsa membilas mulut mereka dengan air, namun langkah itu masih lagi tidak membantu.

Kesemua mangsa akhirnya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Polis sudah pun membuka kertas siasatan terhadap kes itu berdasarkan aduan mangsa. — Agensi

Tiada ulasan: