"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Siti Nur Athirah dipenjara 30 tahun, mengaku bunuh Siti Nur Surya

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
SITI Nur Athirah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh rakannya, empat tahun lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SITI Nur Athirah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh rakannya, empat tahun lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Bekas pelajar tingkatan enam dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakannya, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong , Hulu Terengganu antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh diberikan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 November 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang pada 1 November 2020.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya yang baru pulang dari sekolah.

Tiada ulasan: