"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti: Ketetapan tarikh raya bukan maksiat, kena patuh

NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta seluruh rakyat terutama umat Islam agar mematuhi ketetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang diputuskan kerajaan, pada 10 April lalu.

Ujar beliau, ini sesuai dengan perintah syarak supaya rakyat mematuhi ‘wali amar’ kecuali jika diperintahkan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.

“Keputusan dalam menentukan tarikh awal puasa Ramadan dan tarikh hari raya bukanlah dalam perkara maksiat, maka rakyat hendaklah mematuhi ketetapan itu,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

Rabu lalu, segelintir umat Islam di negara ini memilih untuk meneruskan ibadah puasa pada hari raya pertama apabila mendakwa mereka tidak melihat hilal (anak bulan) melalui mata kasar pada Selasa.

Rata-rata memutuskan demikian susulan penampakan bulan baharu itu tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal.

Mengulas lanjut, ujar Wan Salim, kaedah untuk menentukan kewujudan hilal menurut syarak adalah menerusi penglihatan mata oleh orang yang boleh dipercayai pada agamanya dan kekuatan daya penglihatannya.

“Apabila ada sekumpulan orang yang dipercayai mengaku melihat anak bulan pada petang 30 haribulan Hijrah maka haruslah pengakuan atau pe­nyaksian mereka itu diterima pakai dalam menentukan tarikh permulaan puasa atau hari raya.

“Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang masyhur daripada riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Hendaklah kamu berpuasa dengan melihat hilal dan berbuka (berhari raya) dengan melihatnya.”

“Menurut fatwa Lajnah Da’imah, Arab Saudi, adalah harus berpegang kepada penglihatan hilal dengan bantuan te­leskop untuk penentuan puasa dan hari raya dengan syarat orang yang mengaku melihatnya adalah seorang yang dipercayai,” ujarnya.

Jelasnya, ini adalah suatu ikhtiar memastikan kewujudan hilal pada zaman kini, sama seperti ikhtiar yang dilakukan umat Islam zaman silam untuk memastikan kewujudan hilal dengan menaiki menara atau tempat tinggi.

“Lajnah Da’imah menafikan dakwaan bahawa para ulamak Arab Saudi mengharamkan penggunaan peralatan moden untuk melihat hilal dan mewajibkan penentuan tersebut dilakukan menerusi penglihatan mata kasar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: