"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Wanita mengaku salah khalwat kali kedua dihukum 6 sebatan

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
Nurfifi Amira ketika hadir di Mahkamah Tinggi  Syariah Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Nurfifi Amira ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Seorang juruwang yang melakukan kesalahan khalwat buat kali kedua dikenakan hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.

Tertuduh, Nurfifi Amira Nawi, 37, turut dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau lapan bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh yang juga seorang janda memandangkan ia adalah kesalahan kedua tertuduh sekali gus menjadi wanita pertama di Terengganu yang disebat kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah di daerah Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu 3.15 petang pada pada 31 Januari lalu.

Sebelum ini, tertuduh pernah disabitkan bersalah mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat pada 28 Januari 2018.

Dia sebelum ini didenda RM3,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: