"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SKMM lapor polis terhadap Chegubard, Salim dan Papagomo

Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai-pegawai SKMM.

SKMM memaklumkan laporan polis itu dibuat semalam berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April lepas.

"Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai SKMM bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik selain bersifat penyalahgunaan kuasa," menurut SKMM dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, SKMM memaklumkan ada antara tiga individu berkenaan telah memfitnah SKMM dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.

"Sebagai sebuah badan berkanun, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung didalamnya," menurut kenyataan itu.

Oleh itu, SKMM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

SKMM memaklumkan penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

- Bernama

Tiada ulasan: