Malaysiakini
Keadaan di Gaza akibat serangan rejim Zionis Israel amat menyedihkan, antaranya makanan dan keperluan asas tidak mencukupi.
Malah, makanan yang mudah didapati di Malaysia seperti telur dan buah tembikai juga sudah cukup mengujakan penduduk di sana.
Perkara itu antara perkara yang dikongsi aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Kamaruzaman dengan Anwar Ibrahim dalam pertemuannya di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Kunjungan Muhammad Nadir dan keluarganya itu disambut Anwar dan isterinya Wan Azizah Ismail yang juga bekas timbalan perdana menteri.
“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.
“Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.
“Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” katanya.
Nadir ialah warganegara negara ini yang mendirikan rumah tangga dengan wanita Gaza.
Isteri dan anak-anaknya baru tiba ke Malaysia baru-baru ini setelah berbulan-bulan terperangkap dalam perang.
Serangan terhadap Gaza kini mengorbankan lebih 30,000 orang dan merosakkan pelbagai kemudahan awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan