"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Crocodile Dundee Malaysia: Nelayan tangkap buaya tembaga sedang berenang

Amir Mamat
am@hmetro.com.my
AZRI (kanan) dibantu rakan menangkap buaya di Pantai Siring, hari ini. FOTO Amir Mamat
AZRI (kanan) dibantu rakan menangkap buaya di Pantai Siring, hari ini. FOTO Amir Mamat
Jasin: Seorang nelayan memberanikan diri menangkap seekor buaya tembaga yang berkeliaran di perairan Pantai Siring, Kampung Pulai, Serkam, di sini, pagi tadi.

Nelayan berkenaan, Azri Bodot, 44, nekad menangkap `sang bedal' sepanjang kira-kira lima meter itu selepas dimaklumkan beberapa rakan lain yang ternampak kelibat reptilia terbabit pada jam 8 pagi.

Azri berkata, pada kebiasaannya, buaya itu hanya melintasi perairan Pantai Siring untuk ke Sungai Kesang atau Kuala Linggi, namun hari ini reptilia itu menjadikan kawasan sekitar jeti nelayan sebagai tempat berehat.

"Saya dimaklumkan, setiap kali rakan cuba mendekatinya, ia akan mengangkat kepala dan kadang-kala cuba mengejar perahu mereka.

"Namun selepas memikirkan soal keselamatan nelayan lain serta pengunjung Pantai Siring, saya memberanikan diri mendekati haiwan berkenaan dan menangkapnya menerusi bahagian ekor sebelum mengikatnya dengan tali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, dia bersama beberapa rakan cuba mengikat beberapa lagi bahagian tubuh reptilia itu bagi mengelakkan ia meronta.

"Ketika saya berusaha mengikatnya, buaya itu beberapa kali meronta kuat sehingga menggigit dan merosakkan sedikit perahu saya.

"Bagaimanapun, dengan bantuan rakan nelayan lain, saya berjaya membawa buaya itu ke daratan sebelum menghubungi pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 12.04 tengah hari tadi sebelum mengerah tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau ke lokasi.

Katanya, setiba di lokasi didapati haiwan terbabit sudah ditangkap oleh nelayan dan operasi terkawal.

"Pihak kami mendapatkan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, Perhilitan mengesahkan Pantai Siring, Kampung Pulai menjadi antara laluan beberapa buaya tembaga untuk ke habitatnya di muara sungai.

Buaya spesies `Crocodylus porosus' itu biasanya menjadikan muara sungai di sekitar Selat Melaka sebagai habitat kerana ia boleh bertoleransi dengan air tawar dan air masin.

Pantai Siring sememangnya antara kawasan yang merekodkan kehadiran buaya kerana sebelum ini Perhilitan pernah menyelamatkan seekor buaya yang tersangkut pada jaring nelayan pada 4 Jun 2021.

Tiada ulasan: