KOSMO!
PETALING JAYA – Sepasang suami isteri warga emas sanggup berjalan kaki dikala cuaca sedang hujan gara-gara mahu melepaskan rindu bertemu anak, menantu dan cucu selepas setahun tidak berjumpa.
Kisah pilu itu dikongsikan pengguna Facebook, Khairul Hakimin menerusi hantarannya semalam.
Menurut Khairul, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bangi, Selangor dia terserempak dengan pasangan warga emas tebabit di tepi jalan.
“Tadi (semalam) nak balik rumah, saya nampak pasangan pak cik, mak cik tua bawa beg besar berjalan kaki. Saya pun tak semena-mena perlahankan kereta, pasang ‘signal’ kiri dan turunkan cermin cakap “pak cik nak ke mana? Hujan ni mari saya hantar.”
“Pak cik itu cakap tak nak, yang mak cik pula kemain laju jalan ke depan macam saya nak ‘culik’ dia. Pak cik tetap menolak, saya kata “hujan ni, tak apa naik sahaja, nanti demam macam mana?,” katanya yang menceritakan semula perbualan bersama warga emas terbabit.
Bercerita lanjut, lelaki itu berkata, pasangan warga emas tersebut kemudiannya bersetuju untuk ditumpangkan dan mereka menghulurkan sekeping kertas kecil yang tertera alamat rumah anaknya.
“Saya tanya nak balik mana, pak cik beri sekeping kertas kecil ada alamat dengan nombor telefon. Saya pun telefon, lebih lima kali tak berangkat.
“Saya pun geraklah kereta menuju ke alamat diberikan,” katanya.
Menerusi perkongsian pasangan tua itu, Khairul berkata, anak mereka pada dahulunya seorang yang senang dan kemudian perniagaan diusahakan tidak menjadi sehingga mengalami masalah kewangan.
“Anaknya dulu kaya, kemudian tumbang bisnesnya hancur. Cucu ada tujuh orang. Menantu tak bekerja. Sepanjang tahun, anak yang inilah yang akan bantu seluruh keluarga.
“Namun, tahun ini nak balik ke kampung pun tak ada duit. Anak menantunya tak tahu mereka berdua datang dari kampung nak ke rumah anaknya ini sebab terlalu rindu dah setahun tak balik-balik,” katanya.
Bagaimanapun, Khairul berkata, setibanya mereka di alamat terbabit, pasangan tua itu disambut oleh menantu dan cucunya sambil berpelukan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan