Bernama
Kebanyakan penumpang yang terkandas mengambil keputusan menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sementara menunggu penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak dijadual semula oleh syarikat penerbangan. (Gambar Bernama)
SEPANG: Ribuan penumpang beberapa syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.
Tinjauan Bernama seawal 11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 mendapati rata-rata penumpang yang sepatutnya berlepas ke Tawau pada 8.20 pagi telah diberikan tiket penjadualan semula ke Sandakan pada 1.30 tengah hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan terbaharu AirAsia pada 12 tengah hari tadi, semua penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan bermula 10 pagi hingga 8 pagi esok.
Antara penerbangan AirAsia yang terjejas ialah ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Bintulu, Kuching dan ke Brunei.
Pembantu tadbir yang bertugas di Kelantan Hazwan Mohd Hanafi, 35, ketika ditemui berkata beliau dan 20 ahli keluarganya dijadual berlepas ke Tawau pada 8.20 pagi tadi namun mereka telah diberikan tiket baharu ke Sandakan.
“Kami sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan di Tawau esok dan sebab dapat penerbangan ke Sandakan. Jadi kami rancang untuk ke Tawau melalui jalan darat nanti.
“Tapi sekarang semua penerbangan batal pula. Belum ada apa-apa perancangan lagi, mungkin kami akan tunggu di sini (lapangan terbang) sahaja untuk penjadualan semula penerbangan,” katanya.
Seorang lagi penumpang ke Tawau Norfatihah Aluddin, 15, berkata beliau dan tiga ahli keluarganya masih menunggu perkembangan terkini daripada AirAsia susulan pembatalan semua penerbangan itu.
“Kami ada majlis di Tawau Sabtu ini, tadi dah dapat penerbangan ke Sandakan dan keluarga rancang untuk naik bas ke Tawau dari Sandakan, tapi batal pula. Kalau boleh bagus jika dapat penerbangan esok pagi ,” katanya.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Annie berkata penerbangannya ke Kuching pada 11.35 pagi turut dibatalkan.
“Buat masa ini mereka (AirAsia) minta kami menunggu perkembangan terkini dari semasa ke semasa, jadi kami kena bersabar,” katanya yang berasal dari Kuching.
Sementara itu, penumpang Malaysia Airlines dari KLIA Terminal 1 Mohd Firdaus Mohd Shaari ketika dihubungi berkata beliau telah dimaklumkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan dibatalkan dan sedang menunggu info lanjut mengenai jadual penerbangan semula.
“Sekarang saya tengah berbaris di kaunter untuk mendapatkan semula bagasi yang sudah didaftar masuk pagi tadi dan bertanyakan apa pelan kontingensi bagi penumpang terjejas,” katanya yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di sebuah hospital di Sandakan .
Difahamkan beliau bersama isteri yang juga seorang doktor di hospital sama balik beraya di Semenanjung pada 6 April lepas dan dijadual kembali bertugas pada 22 April depan.
Selain AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air juga telah membatalkan penerbangan mereka kerana letusan Gunung Ruang.
Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara KLIA dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.
Batik Air pula telah mengumumkan pembatalan penerbangan untuk laluan Malaysia Timur yang membabitkan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau dan Sibu.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), letusan gunung berapi di Gunung Ruang di Indonesia telah mengakibatkan pembentukan awan debu bergerak ke arah Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan