Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: "Saya tak sangka dia sanggup bunuh anak kami. Selama ini saya pertahankan anak apabila didera sehinggakan saya turut cedera dipukulnya," kata ibu mangsa yang mahu dikenali Siti.
Siti, 20, adalah ibu kepada bayi lelaki berusia enam bulan yang maut disyaki didera bapanya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini, pada kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, bayi malang itu dipercayai dipukul, kepala dihentak pada sofa selain mulutnya disumbat dengan kain dan badan dibedung serta ditinggalkan tertiarap dalam bilik gelap tanpa pengawasan sebelum ditemukan meninggal dunia.
Siti berkata, ketika kejadian dia dan anak sulungnya yang berusia dua tahun ke rumah keluarga mentua, manakala suami tinggal bersama anak bongsunya berada di kediaman mereka.
"Suami beritahu mahu menjaga anak bongsu di rumah, jadi saya siapkan kelengkapan bayi sebelum tinggalkan mereka. Apabila pulang, suami beritahu bayi sedang tidur dalam bilik dan dia tidak benarkan saya masuk ke dalam bilik.
"Tidak lama kemudian, saya dengar anak menangis dengan kuat dan saya mahu masuk ke bilik tapi suami marah. Akibat takut dipukul, saya hanya duduk di sofa walaupun saya sangat risaukan keadaannya.
"Saya bersama anak sulung tertidur di sofa dan apabila bangun pagi itu saya segera berlari ke bilik untuk lihat keadaan Aysar. Saya angkatnya dan dapati dia sudah tidak sedarkan diri dengan badan kemerah-merahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Suri rumah itu berkata, dia menjerit memanggil suami sebelum lelaki itu menghubungi keluarganya dan talian kecemasan 999 untuk bantuan.
Bagaimanapun, katanya, bayi terbabit disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
Menurut Siti, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa terdapat kesan kecederaan di tengkorak kepala bayinya dipercayai akibat dihentak objek tumpul.
"Suami memang pernah pukul saya dan anak-anak sebelum ini. Arwah anak saya itu pernah ditampar dan dipukul serta mulut disumbat kain oleh suami.
"Saya kerap bergaduh dengan suami kerana mempertahankan anak sehingga beberapa kali saya turut menjadi mangsa pukulannya. Saya tidak pernah menceritakan perbuatan suami itu pada keluarga," katanya.
Katanya, suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah lama tidak ke tempat kerja, malah dia baru mengetahui suaminya terbabit penyalahgunaan dadah.
Dia berharap suaminya mendapat pengajaran dan balasan kerana tergamak membunuh anak kandung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan