Mohsin Abdullah
Ingat tak 4 April lalu Shafee Abdullah peguam bela Najib Razak memaklumkan kepada media seorang ‘saksi penting’ dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman anak guamnya untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara dengan tahanan di rumah? Ini membabitkan hukuman penjara enam tahun (setelah dikurangkan daripada 12 tahun oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan) dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Rasanya boleh dirumuskan ‘saksi penting’ yang dimaksudkan ialah timbalan perdana menteri dan presiden Umno, Zahid Hamidi. Ini kerana sekarang kita tahu Zahid menyokong dakwaan bos lamanya bahawa wujud titah addendum atau tambahan kepada titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 bersabit isu pengampunan Najib.
Najib mendakwa addendum itu mengenai titah Agong supaya beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah. Sekarang kita diberitahu oleh Zahid sendiri beliau menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Apr lalu – sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
Zahid mendakwa pada pertemuan di rumahnya 30 Jan lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu tentang addendum berkenaan dan menunjukkan gambar dokumen itu yang di scan dan disimpan dalam telefonnya.
Zahid mendakwa Zafrul sendiri yang scan dan mengambil gambar addendum itu. Zahid kata Zafrul kata Agong ke-16 yang tunjukkan dokumen itu kepadanya. Zahid tidak pula beritahu mengapa Agong ke-16 tunjuk addendum itu kepada Zafrul dan mengapa Zafrul ambil gambar dokumen itu.
Bolehkah disimpulkan Zahid bertindak menyokong dakwaan Najib bagi membuktikan kesetiaannya kerana dalam kalangan Umno ada yang beranggapan beliau tidak bersungguh-sungguh membela Najib, malah ada yang tuduh Zahid sekadar melepas batuk di tangga supaya kekal sebagai presiden Umno. Bagi golongan yang menuduh, jika Najib dibebaskan beliau boleh make a comeback sekali gus Zahid diketepikan.
Bagi Megat Zulkarnain Omardin, afidavit Zahid kemuncak usaha presiden Umno itu ‘membela sahabatnya’. Tetapi Megat Zulkarnain setiausaha politik Zahid.
Namun yang menarik ialah Zafrul menegaskan ada beberapa ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid. Lantas beliau mahu memfail afidavitnya sendiri bagi memperbetulkan kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit Zahid. Ertinya apa semua itu? Isham Jalil, ahli majlis kerja tertinggi Umno yang dipecat tahun lalu bertanya: “Zafrul ingin cakap apa dalam afidavit dia dan apa fakta yang dia ingin betulkan? Adakah dia ingin betulkan apa yang Zahid kata dan afidavit Zahid itu tidak tepat i.e Zahid menipu?”
Apa pun peguam Najib menuntut kerajaan jelaskan dakwaan ia menyembunyikan kewujudan addendum atau titah tambahan Agong. Perlu diingat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pernah dilapor berkata beliau tidak tahu wujudnya titah tambahan mengenai tahanan rumah untuk Najib.
Pada hemat saya, kerajaan tidak mahu dilihat atau dikaitkan dengan sebarang langkah meringankan lagi hukuman Najib kerana ia sesuatu yang tidak disenangi ramai rakyat.
Pun begitu Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dilapor FMT 17 Apr lalu berkata Saifuddin perlu jawab persoalan yang timbul kerana ia menjejaskan kerajaan serta kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan.
FMT turut menyiarkan komen penganalisis politik, Asrul Hadi Abdullah. Kata beliau, afidavit Zahid boleh memaksa Umno menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat kenyataan umum dan mendesak Najib menghabiskan hukumannya di rumah. Menurut Asrul, Umno mungkin tidak mahu bekerjasama dengan PKR selepas penggal Parlimen ini tamat jika permintaan mereka ditolak.
Katanya lagi, pakatan itu hampir mencapai penghujungnya.
Ada benar kata beliau. Cuma saya ingin menambah banyak bergantung pada ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid yang Zafrul mahu betulkan. Besar mana silapnya?
Benar juga Umno ada pilihan untuk tidak bekerjasama dengan PKR malah PH secara total. Namun pada pandangan saya Umno akan lebih banyak rugi jika meninggalkan kerajaan, lalu saya tidak menjangkakan Umno akan keluar blok pemerintah. Atau Umno boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS untuk memikat pengundi Melayu. Apa lagi tindakan ketua Pemudanya akhir-akhir ini terutama dalam isu boikot KK Mart, Umno percaya telah mendekatkannya dengan orang Melayu. Akan tetapi Umno tetap di belakang PAS dan Bersatu, ertinya PAS nombor satu, Bersatu nombor dua, barulah Umno di tempat ketiga.
Lazimnya parti nombor tiga don’t have much say.
Buat masa ini ‘masalah Najib Razak’ mesti diselesaikan bukan sahaja oleh Umno tetapi juga PH. Bagi kerajaan, persoalannya mahu jaga hati Umno atau hati majoriti rakyat. Tak bolehlah play safe selalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan