FMT Reporters
Mangsa, Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, tertimbus tanah sedalam 6.1 meter, dalam kejadian di Kampung Gelam Tok Uban, Pasir Mas petang semalam.
Beberapa anggota bomba dibantu penduduk mencari mangsa yang tertimbus tanah ketika menggali perigi di Pasir Mas, semalam. (JBPM pic)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas tertimbus tanah sedalam 6.1 meter ketika menggali perigi di Kampung Gelam Tok Uban, Pasir Mas, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.17 petang itu, mangsa, Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, ditemui oleh pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pasir Mas yang turut dibantu orang awam menggunakan jengkaut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota dikejarkan ke lokasi untuk menyelamat.
“Sebaik tiba, sepasukan 10 anggota bomba berusaha mencari mangsa yang tertimbus selain dibantu oleh beberapa penduduk kampung.
“Berdasarkan maklumat, mangsa baru siap menggali telaga berkenaan dan mahu menurunkan gegelung konkrit, namun tebing telaga tiba-tiba runtuh sebelum menimbus mangsa,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Syafiq Mohd Noor, 28, berkata mangsa diupah oleh abangnya untuk menggali perigi di kebun terbabit.
“Ia sudah hampir siap, namun tidak menyangka insiden ini berlaku sehingga meragut nyawa penggali yang juga saudara kami.
“Kami cuba sedaya upaya menggali tanah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum dibantu oleh anggota bomba. Pilu hati saya melihat isteri serta seorang anaknya yang masih kecil menangis melihat sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan