"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar Ibrahim watak utama 'Misi Gila'

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
NADIR Al-Nuri ketika berjumpa Perdana Menteri sebelum ini. FOTO Ihsan FB Nadir Al-Nuri
NADIR Al-Nuri ketika berjumpa Perdana Menteri sebelum ini. FOTO Ihsan FB Nadir Al-Nuri
Kuala Lumpur: Siapa sangka panggilan yang diterima sehari sebelum Aidilfitri lalu memberi berita paling gembira dan membahagiakan buat Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Apa tidaknya, selepas 183 hari 'terpisah' akibat perang Israel-Palestin, Nadir dapat bertentang mata serta memeluk anak-anaknya dan momen itu disifatkan sebagai satu mimpi.

Bercerita bagaimana anaknya dapat dibawa pulang ke Malaysia, Nadir berkata, watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

"Kisahnya bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.

"Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) diberikan peluang bertemu watak utama (Anwar) misi menyelamat sebulan lalu di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

"Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas 'saya akan bantu' dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya," katanya dalam catatan di Facebook, malam ini.
NADIR bersama anak-anaknya.
NADIR bersama anak-anaknya.
Mengakui hatinya mula luluh, Nadir beranggapan itu hanya bahasa orang politik.

Namun, katanya, di dalam suratnya kepada Anwar, beliau mengakhiri ayat dengan 'kepada Allah jualah kami berserah'.

"Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah. Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini.

"Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

Namun, katanya, nada Farhan kali ini agak berbeza dan serius, malah mengarahkan hanya beliau dan Dr Sani sahaja datang ke satu lokasi khas.

"Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie (filem).

"Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan," katanya.

Katanya, beliau sudah biasa melalui perang di Gaza dan melihat kehilangan serta air mata serta cekalnya kehidupan.

"Tetapi misi ini saya katakan 'Misi Gila' kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

"Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah lain," katanya.

Beliau menyifatkan proses itu adalah cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat dengan kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tidak semua berhak untuk dikongsikannya.

"Tetapi watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!

"Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin, umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan.

"Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti," katanya.

Sementara Anwar dalam hantaran di Facebook beliau mengucapkan syukur keluarga Nadir akhirnya dapat disatukan.

"Penghargaan tidak terhingga buat sahabat saya Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama yang diberikan," katanya.

Tiada ulasan: