Isabelle Leong
Perhatian tertumpu kepada Najib Razak selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah memberikan pengampunan tambahan terhadapnya.
Selain hukuman penjara dan denda yang dikurangkan separuh, Najib mendakwa pada 29 Januari, bekas Agong telah mengeluarkan titah tambahan kepada Lembaga Pengampunan - yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
Justeru Najib memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.
Menerusi Panduankini kali ini, Malaysiakini akan mengupas mengenai "tahanan rumah" dan apa yang terangkum di dalamnya - dan apakah peruntukan sedemikian wujud dalam kerangka undang-undang.
Apakah sebenarnya 'tahanan rumah'?
Pakar kriminologi, P Sundramoorthy dari Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan program tahanan rumah dalam masyarakat sivil melibatkan perintah membataskan individu-individu tersebut di rumah mereka sepanjang menjalani hukuman, kecuali untuk alasan tertentu seperti berjumpa doktor atau hadir di mahkamah.
Individu-individu ini, kata Sundramoorthy, perlu memohon kebenaran untuk meninggalkan tempat tinggal mereka.
Mereka yang ditahan di rumah perlu menjalani perintah berkurung, yang mengkehendaki mereka berada di rumah semasa tempoh tertentu atau semalaman.
"Peralatan elektronik seperti gelang pergelangan kaki digunakan untuk memantau pergerakan dan aktiviti mereka.
"Peranti tersebut menjejaki lokasi mereka, memastikan mereka berada dalam had geografi yang ditetapkan," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, walaupun mereka dibenarkan meninggalkan kediaman untuk bekerja, menyambung pengajian, menghadiri temu janji perubatan atau aktiviti lain yang diberi kebenaran, mereka harus pulang dalam tempoh yang ditetapkan.
Siapa yang boleh memohon dan apakah syarat-syaratnya?
Ini mungkin mengejutkan bagi ramai orang, tetapi jawapan kepada soalan ini ialah tiada sesiapa boleh memohon atau meminta "tahanan rumah" di Malaysia.
Peguam jenayah Goh Cia Yee menjelaskan pada masa ini tiada proses permohonan untuk "tahanan rumah" kerana tiada peruntukan sedemikian dalam sistem undang-undang negara ini.
'Peruntukan' ini tidak wujud dalam undang-undang Malaysia?
Jawapan ringkas kepada soalan ini ialah tidak.
Goh menegaskan "tahanan rumah" atau "penahanan rumah" bukan alternatif kepada hukuman penjara.
Peguam dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut bersetuju dengan pendapat ini dengan menyatakan tiada peraturan atau perundangan subsidiari mengenai "tahanan rumah".
"Saya tidak pernah mendengar sebarang rang undang-undang dibentangkan di Parlimen untuk peruntukan tersebut yang dipanggil 'tahanan rumah'.
"Tanpa undang-undang atau akta yang sewajarnya, tiada sesiapa boleh memohon tahanan rumah. Ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang," tegas wakil PKR itu.
Adakah kita ada peruntukan yang agak serupa?
Peguam Andrew Khoo berkata, Seksyen 43 Akta Penjara 1995 membenarkan pelepasan sesiapa saja banduan "secara lesen" tetapi "tertakluk kepada mana-mana peraturan yang dibuat oleh menteri" - dalam kes ini, berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Peruntukan ini juga menetapkan bahawa "syarat-syarat" bagi pelepasan sesiapa saja banduan "boleh dinyatakan secara lesen".
Pada Mac lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pelepasan banduan secara berlesen, melalui tahanan rumah, bagi banduan yang menjalani hukuman penjara selama empat tahun ke bawah, sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara.
Saifuddin berkata kementeriannya sedang dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan dari sudut pandangan peruntukan undang-undang yang berkaitan, dan sama ada undang-undang dan peraturan sedia ada perlu dipinda.
Pendakwah Wan Ji Wan Hussin ialah salah seorang individu yang dilepaskan dari penjara di bawah program Pelepasan Banduan Berlesen.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Wan Ji, Saiful Izham Ramli, berkata program tersebut membenarkan banduan untuk tinggal di luar penjara, walaupun dengan pergerakan yang terhad dan perlu mendapatkan kebenaran untuk menjalankan sebarang aktiviti.
"Wan Ji tidak diletakkan di bawah tahanan rumah, tetapi pelepasan berlesen. Seperti biasa, banduan akan memohon program tersebut melalui peguam mereka.
"Jabatan Penjara akan memutuskan sama ada memberikan kebenaran atau sebaliknya. Kebanyakan masa, jabatan tersebut akan menghantar banduan ini untuk bekerja di bawah majikan, di mana majikan perlu menyediakan penginapan.
"Banduan juga perlu ke pejabat parol pada setiap bulan," kata Saiful.
Apakah Najib berada dalam 'senarai'?
Saifuddin pada 4 Mac berkata, bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu tidak layak untuk cadangan sebagai "tahanan rumah".
Menteri tersebut memberitahu Malaysiakini hanya banduan yang menjalani hukuman kurang daripada empat tahun penjara, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya berada dalam senarai tahanan rumah.
Dia juga dilaporkan menafikan dasar tahanan rumah membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah dan menyifatkan dakwaan itu sebagai berniat jahat.
Jadi... bolehkah pengampunan diraja merangkumi peruntukan 'tahanan rumah' jika ia tidak termasuk dalam undang-undang?
Goh dan Khoo menyuarakan kebimbangan dan membangkitkan persoalan mengenai perkara ini.
Goh berpendapat kuasa Agong untuk memberikan pengampunan haruslah terhad kepada undang-undang sedia ada.
Ini, kata Goh, sama ada memberikan Najib pengampunan penuh atau mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri itu.
"Kami tidak pasti pada ketika ini apa yang dimaksudkan oleh titah tambahan yang disebutkan apabila ia menyebut tahanan rumah.
"Adakah ia menetapkan syarat-syarat yang tepat untuk tahanan rumah ini? Ia boleh sangat kabur, yang pada gilirannya akan membuat perintah sedemikian tidak boleh dikuatkuasakan. Adakah ia bermakna 'curfew' atau pengurungan sepenuhnya di rumah?" katanya.
Khoo berpendapat mungkin tidak selaras dengan Perlembagaan untuk Agong atau Lembaga Pengampunan untuk memerintahkan tahanan rumah.
Merujuk kepada Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan, dia menyuarakan kebimbangan tentang sama ada kuasa Agong untuk memberikan pengampunan dan mengurangkan hukuman termasuk kuasa untuk menetapkan bahawa individu yang disabitkan boleh menjalani hukumannya dengan cara tertentu.
Perkara 42(1) menyatakan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.
Perkara 42(2) juga menyatakan bahawa tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan