"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Malaysia di Iran diminta kekal waspada

Harapandaily

Rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke kawasan berlaku ketegangan antara Iran dan Israel dinasihatkan supaya kekal berwaspada.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri, rakyat juga dinasihatkan terus mengikuti perkembangan situasi semasa dan sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan.

“Mereka disarankan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran,” katanya hari ini.

Menurut Wisma Putra, Malaysia sedang memantau situasi terkini di Asia Barat itu dan menggesa semua pihak yang terlibat untuk meredakan ketegangan serta berusaha mencari jalan penyelesaian diplomatik.

Sementara itu, menurut rekod Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), setakat ini seramai 1,872 pelajar Malaysia berada di Jordan, Syria (37), Iran (8), manakala tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq.

Sebelum ini, Israel menyerang Iran dengan tiga dron, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan membalas dendam terhadap Israel.

Namun, Iran berjaya memusnahkan ketiga-tiga dron dari negara pengganas itu.

Sistem pertahanan udara Iran dilapor diaktifkan di beberapa bandar selepas letupan kedengaran berdekatan bandar Isfahan.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi memberi amaran kepada Israel sebelum serangan hari ini bahawa Tehran akan memberikan tindak balas yang teruk terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya.

Bagaimanapun sehingga malam ini, tiada sebarang kenyataan dibuat pemimpin utama Iran berhubung serangan Israel itu.

Malah, Ebrahim dalam ucapannya ketika lawatan di wilayah tengah Semnan dilapor sama sekali tidak menyebut tentang serangan Israel ke atas wilayah Isfahan.

Tiada ulasan: