WAN SITI AMINAH
Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pasangan yang didakwa melakukan maksiat dalam kereta Perodua Axia di perkarangan sebuah masjid di Kuala Lumpur.
Akibat penularan video tersebut di media sosial, pemilik kereta itu malah menerima kecaman teruk walaupun tidak mempunyai hubungan darah dengan pelaku terbabit.
Sehubungan dengan itu, anak kepada pemilik Axia berkenaan tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian sebenar susulan keluarganya menerima ancaman.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Hilmi Hamdan memberitahu kereta Axia itu dimiliki oleh bapanya yang merupakan seorang pesara guru dan juga imam surau.
Kenderaan tersebut bagaimanapun digunakan oleh adik bongsu Hilmi iaitu seorang lepasan tahfiz yang melanjutkan pelajarannya di sebuah pusat pengajian di ibu kota.
Namun ketika kejadian, Perodua Axia tersebut dipinjamkan kepada sahabat adiknya dipercayai individu dalam video dengan tujuan untuk menghantar rakan lain ke klinik.
“Adik saya merupakan lepasan tafiz dan di sana beliau juga menjadi imam dan guru mengaji. Kami insya-Allah, datang dari keluarga yang baik. Bukan pembuat maksiat sebagaimana ditularkan.
“Beberapa hari lepas, kawan adik telah meminjam kereta Axia itu. Adik saya berada di perpustakaan dan membenarkan kawannya meminjam kereta untuk menghantar kawan ke klinik.
“Peristiwa dan rakaman tersebut berlaku selepas mereka ke klinik. Pesalah di dalam kereta itu kawan adik saya. Bukan adik, apatah lagi ayah saya sebagai pemilik kereta,” jelasnya.
Jelas Hilmi, pendedahan tersebut terpaksa dilakukannya untuk membersihkan nama bapa yang ditularkan dan dilemparkan kata-kata kesat oleh pengguna media sosial.
Bapanya juga dihubungi oleh individu tidak dikenali dan adik malah digelar sebagai kaki maksiat hingga terpaksa merehatkan kereta itu berikutan menerima ancaman.
Dalam perkembangan terbaharu, Hilmi Hamdan memaklumkan bahawa pelaku telah membuat permohonan maaf di atas tindakan mencemarkan nama baik keluarganya.
Pelaku juga difahamkan sudah menyerah diri kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid Gombak Utara di mana kesalahan itu dibuat selain menemui perakam video tersebut.
Individu yang menularkan video tersebut turut memohon maaf kepada keluarga Hilmi kerana tindakannya yang telah menimbulkan fitnah ke atas pemilik Axia berkenaan.
Sementara itu, Hilmi menegaskan bahawa dirinya tidak berniat untuk mendedahkan wajah pelaku dan berharap kejadian itu dijadikan pengajaran di masa akan datang.
“Ada yang minta dedahkan muka pesalah sebagai tanda kami tak tipu. Maaf, kami bukan jenis pendendam. Pesalah adalah rakan baik adik saya. Dia juga pernah bertandang ke rumah kami di Terengganu.
“Pesalah yang kami kenal adalah seorang kawan yang baik, cuma mungkin pada hari kejadian dia sedikit ‘terbabas’ dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Semoga Allah ampuni dosa mereka.
“Kalau kami dedahkan muka pesalah, bermakna kami telah membunuh masa depan seorang anak muda yang terkhilaf hari ini. Mungkin dia akan menjadi seseorang yang berjasa pada masa akan datang.” Tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan