FMT Reporters
Papan iklan gergasi yang terbakar di Lebuh Raya Persekutuan petang tadi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA: Sembilan nyawa berjaya diselamatkan dalam kejadian papan iklan gergasi terbakar di Lebuh Raya Persekutuan, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Rosman Majid, berkata mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan terdapat sembilan pekerja di atas papan iklan elektronik itu, antaranya sedang melakukan kerja penyelenggaraan.
Tiga dilaporkan mengalami kecederaan akibat terkena api dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Antara pekerja yang berjaya diselamatkan bomba. (Gambar Bomba)
Rosman memaklumkan empat jentera dengan pelbagai peranan daripada empat balai bomba berdekatan bergegas ke tempat kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.15 petang.
Usaha menyelamat dan memadam kebakaran di KM33.8 Lebuh Raya Persekutuan itu, berdekatan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik di sini, melibatkan dua kenderaan penyelamat kebakaran, satu platform tangga udara, dan satu tangki air dengan kekuatan seramai 17 anggota dari balai bomba Petaling Jaya, Jalan Penchala, Subang Jaya, dan Shah Alam.
“Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar telah hadir ke operasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Kebakaran mengakibatkan kepulan asap hitam tebal, namun situasi dilaporkan dapat dikawal.
Operasi ditamatkan kira-kira 3.45 petang tadi. Punca kebakaran belum dimaklumkan setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan