Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini berhubung rasuah berjumlah RM1.25 juta bagi membantu menutup siasatan kes seorang suspek membabitkan pembelian senjata api oleh warga Israel, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju dan menerima rasuah wang tunai sebanyak RM1 juta daripada ahli perniagaan, Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan bagi membantu menutup siasatan jenayah ke atas lelaki itu berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 120 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik / Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, di Jalan Tun Razak di sini, antara 12 tengah hari hingga 1 petang, 8 April lalu dan di ruang letak kereta menara sama antara 4.29 petang hingga 4.40 petang.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Chin turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu bersetuju menerima rasuah dan menerima rasuah RM250,000 bagi membantu menutup siasatan jenayah ke atas Khoo yang membabitkan kesalahan komersial di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, Menara KPJ di sini, pada 12.30 tengah hari, 18 April lalu dan di tempat letak kereta berbayar menara berkenaan antara 10.30 pagi hingga 1 petang, 19 April lalu.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
"Kesalahan dilakukan tertuduh adalah membabitkan jumlah melebihi RM1 juta dan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan jika sabit kesalahan denda lima kali ganda nilai suapan sehingga RM5 juta.
"Jaminan dan syarat dicadangkan adalah sesuai dan munasabah," katanya.
DUA pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diiringi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) ketika hadir untuk pendakwaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. FOTO Aizuddin Saad
Namun, peguam Jacky Loi yang mewakili Chin memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dengan mengambil kira anak guam sudah berkhidmat dengan PDRM selama 29 tahun.
"Chin berpangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan mempunyai empat anak berusia 18, 23, 25, dan 27 tahun.
"Anak berusia 18 tahun masih belajar dan anak guam bakal menghadiri sesi perjumpaan ibu bapa di luar negara pada Jun ini," katanya.
Jacky berkata, anak guamnya memberi kerjasama penuh ketika ditahan polis dan tiada sebarang bukti dan kenyataan dikemuka bahawa anak guam akan menghilangkan diri jika tidak menyerahkan pasport.
Peguam bela Suhairon, Ridha Abdah Subri pula mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin terhadap anak guamnya.
"Anak guam sudah berkhidmat lebih 20 tahun dengan PDRM dan memberi kerjasama sepanjang siasatan. Tiada sebab untuk melarikan diri kerana isteri, anak dan keluarga terdekat berada di Malaysia.
"Suhairon mempunyai empat anak yang masih bersekolah dengan yang bongsu berusia tujuh tahun, manakala ibu bapanya berusia 80 tahun dalam keadaan uzur di kampung.
"Keluarga hanya mampu mengumpul RM15,000 (wang jaminan) dan percaya amaun itu adalah selari serta konsisten untuk memastikan kehadiran di mahkamah," katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura kemudian membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin kepada setiap tertuduh, selain syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan