"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kokain lebih RM10 juta dalam kontena bawang dari China

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kastam Johor merampas 51kg kokain bernilai RM10.3 juta dalam kontena berisi bawang dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru.

Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata kontena itu disita sepasukan pegawai cawangan narkotik susulan risikan di ruang punggah di Pemeriksaan Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada 2.45 petang, Rabu lalu.

Beliau berkata, barangan dalam kontena itu diikrar sebagai 2,900 bungkusan bawang segar.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk berwarna putih yang disembunyikan di ruangan kompresor penghawa dingin kontena.

“Pengesahan awal mendapati ia adalah kokain. Ia dipercayai dibawa masuk dari China dan disembunyikan di ruangan kompresor berkenaan.

“Anggaran dadah yang disita bernilai RM10.3 juta dan ia adalah rampasan terbesar kastam setakat ini,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media di Johor Bahru.

Aminul Izmeer berkata, destinasi akhir kontena itu adalah di sebuah syarikat di Kuching, Sarawak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbayar 1952.

Tiada ulasan: