"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

OKU, Mangsa 'pukul' kongsi pengalaman di balai polis

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Nota editor: Artikel telah dipinda untuk memberi gambaran yang lebih tepat perkongsian Ong mengenai pengalamannya.

Seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU), yang didakwa diserang oleh pengiring Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menceritakan pengalamannya di ibu pejabat polis Brickfields di Kuala Lumpur.

Bercakap pada sidang media di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya petang tadi, Ong Ing Keong, 46, turut mendedahkan seorang wakil istana hadir ketika itu.

Ditanya bagaimana dia tahu bahawa orang itu berasal dari istana, dia menjawab menggunakan bahasa isyarat yang diterjemah sebagai: "Seorang pegawai polis tulis untuk saya."

Sebagai menjawab soalan, Ong kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa seorang pegawai polis telah menyediakan laporan kedua dan menyuruhnya menandatanganinya.

Mengulas lanjut mengenai "pilihan" yang diberikan kepadanya, Ong mendakwa sama ada dia meneruskan laporan itu dan polis akan merampas telefonnya untuk siasatan, atau dia boleh menggugurkan kes itu dan menerima pampasan.

Kerana berasa tertekan, Ong memilih pilihan kedua kerana takut tidak dapat berkomunikasi dengan rakan dan keluarga sekiranya telefonnya dirampas.

Ong mendakwa pegawai polis itu juga memberitahunya bahawa jika dia pergi ke mahkamah, telefon bimbitnya akan dirampas.

"Jadi saya berada dalam dilema, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan saya tidak tahu mengapa mereka mahu mengambil telefon bimbit saya," katanya.

Rundingan pampasan

Selepas memaklumkan keputusannya, Ong mendakwa pegawai itu bertanyakan berapa banyak yang dia perlukan sebagai pampasan untuk rawatan perubatannya.

Pemandu e-hailing, yang cacat pendengaran, mendakwa bahawa dia mula-mula ditawarkan RM500 tetapi memandangkan jumlah itu terlalu sedikit, dia meminta RM1,000 dan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju dengan angka RM800.

Ong turut mendedahkan sebahagian perbualannya dengan wakil istana yang dikatakan itu kerana dia telah bertanyakan di mana pelakunya.

“Saya tanya, mana orang pukul saya? Kenapa dia tak ada di balai?

"Wakil itu berkata, 'Oh, dia sibuk bekerja'," katanya.

Ong turut mendakwa anggota polis mengawasi pergerakannya di balai polis dengan teliti dan turut mengekorinya apabila dia ke tandas.

Pemandu e-hailing itu berkata dia mengeluarkan telefon keduanya ketika berada di dalam tandas untuk menghantar mesej kepada rakannya, yang hanya dikenali sebagai "Phillip", dan isterinya untuk mendapatkan nasihat.

Sepanjang pengalaman pahit itu, Ong berkata dia tidak ditemani oleh jurubahasa bahasa isyarat dan bergantung kepada bantuan Phillip untuk mentafsir menggunakan WhatsApp.

Menjelaskan kenyataan yang bercanggah

Penasihat LFL Latheefa Koya berkata objektif utama sidang media itu adalah untuk menjelaskan sebarang kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak mengenai pengalaman pahit yang dialami Ong.

Dia menegaskan bahawa adalah penting bagi Ong untuk menceritakan kisah itu berdasarkan apa yang dialaminya dalam beberapa hari lepas.
Dari kiri: Zaid Malek dari LFL, peguam Latheefa Koya dan mangsa Ong Ing Keong semasa sidang media hari ini

“Terlalu banyak kenyataan bercanggah keluar yang mendakwa perkara itu selesai dan dia mahu beralih.

"Tetapi anda boleh mendengar terus daripadanya hari ini bahawa dia mahukan keadilan. Dia tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku kepadanya," tambah bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Dengan bantuan jurubahasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) Anthony Chong berkata kes ini menandakan kepentingan untuk mengakui bahawa tidak semua orang pekak di Malaysia mahir sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris kerana latar belakang pendidikan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia Anthony Chong (kanan).
“Kami merasakan polis perlu melindungi rakyat dan harus sedar tentang kebolehcapaian komunikasi kepada orang kurang upaya,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Dawn berkata bahawa anak Ong telah meninggal dunia hanya tiga minggu lalu, yang menyukarkan lagi dia untuk menghadapi situasi itu.

LFL akan mengiringi Ong ke ibu pejabat polis daerah Brickfields esok pada jam 11:30 pagi untuk merekodkan kenyataannya.

Turut hadir pengarah LFL Zaid Malek dan penasihat N Surendran.

Tiada ulasan: