"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerjasama semakin serasi, PH-BN ada kelebihan di Sungai Bakap

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Berdepan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kerjasamanya semakin kukuh selain mentadbir Pulau Pinang, mungkin menyukarkan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan DUN Sungai Bakap, menurut penganalisis.

Mereka berpendapat jika PN menerusi PAS mempertahankan kerusi itu pada PRK sekali pun, majoritinya mungkin di bawah 500 undi, lebih rendah berbanding 1,563 undi diperoleh calonnya Nor Zambri Latiff menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose ketika PRN Ogos tahun lalu.

Zambri meninggal dunia Jumaat lalu dan kekosongan kerusi itu akan dimaklumkan Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PH-BN sudah tentu akan menggunakan kedudukannya sebagai blok kerajaan untuk menambat hati rakyat di kawasan itu, paling penting komuniti Melayu yang mewakili 59.36% pengundi.

Pengundi Cina (22.54%), India (17.39%), dan lain-lain (0.71%) meliputi 38,409 pemilih berdasarkan rekod SPR PRN 2023.

Menurutnya, kemenangan DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal itu juga akan menjadi isyarat pengaruh gelombang hijau yang membantu PAS menawan 11 kerusi di Pulau Pinang, semakin terhakis khususnya di kalangan orang Melayu.

“Parlimen Nibong Tebal ini kubu PH dan mereka menang Parlimen dan dua DUN (Jawi dan Sungai Acheh) kecuali Sungai Bakap yang dirampas PAS dengan majoriti tipis seribu lebih (1,563 undi).

“Walaupun PAS menang di Sungai Bakap kerana gelombang hijau, namun prestasi ditunjukkan PH-BN dalam beberapa siri PRK seperti Pulai, Simpang Jeram, Pelangai kemudian Kuala Kubu Baharu sudah pasti memberi kelebihan kepada kerajaan meneruskan penguasaan di Sungai Bakap,” katanya kepada FMT.

“Kedudukan PH-BN yang menguasai Pulau Pinang malah di peringkat persekutuan pada masa sama pengaruh Umno yang semakin pulih akan menambah lagi beban PAS untuk mengekalkan kerusi itu.”

Sebagai rekod, kerusi itu pernah dikuasai Umno pada PRU2004 yang empat tahun kemudiannya dirampas Pakatan Rakyat (PR) yang digantikan dengan PH membabitkan gabungan PKR-DAP-Amanah. Namun pada PRN lalu, PN pula menguasainya.

Mazlan berkata jika PH-BN berjaya merekodkan kemenangan 30-10, ia juga memberi signal sokongan Umno dalam kalangan orang Melayu semakin pulih, mengambil kira kawasan itu juga pernah dimenangi Umno pada PRU11 (2004-2008), selain mesej jelas gelombang PAS semakin luntur.

“PH-BN boleh beritahu kepada Malaysia bahawa gelombang PAS mulai luntur dan kejayaan mereka merampas DUN ini boleh memberi suatu mesej bahawa pengaruh madani semakin meningkat dan kemenangan itu bukan saja memberi semangat kepada PH malah rakan gabungan Umno (untuk bangkit),” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat PAS masih berpeluang mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap namun dijangka dengan majoriti kurang dari 500 undi.

“Kerana PH-BN kini berada pada kedudukan kukuh dan keserasian mereka menjadi tarikan kepada pengundi.

“PH mahu merampas kerusi itu dan kalau gagal, majoriti diterima PAS mungkin di bawah 500 undi,” katanya sambil menambah ia akan memberi gambaran pengundi Sungai Bakap telah berubah hati kepada PH.

Tiada ulasan: