Agensi
BAHIA Bakari kini berusia 27 tahun. FOTO Reuters
Paris: Keajaiban, namun masih menjadi mimpi ngeri buat seorang wanita yang menjadi satu-satunya penumpang terselamat selepas pesawat Yemenia 626 dinaikinya terhempas ke Lautan Hindi, 15 tahun lalu.
Ringkasan Berita
- Hanya Bahia Bakari yang terselamat selepas pesawat Yemenia 626 terhempas di Lautan Hindi, 15 tahun lalu.
- Bahia yang ketika itu berusia 12 tahun berpaut pada serpihan dalam air selama 13 jam sebelum diselamatkan.
- Pada Mei 2022, Bahia memberi keterangan tentang pengalamannya ketika perbicaraan terhadap syarikat penerbangan terbabit di Perancis.
Metro UK melaporkan, Bahia Bakari yang kini berusia 27 tahun dari Evry di Perancis, sedang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan datuknya di Comoros bersama ibunya sebelum berdepan insiden membabitkan pesawat membawa 153 penumpang itu.
Bahia yang ketika itu berusia 12 tahun dan ibunya menaiki pesawat Airbus A310 itu yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Yaman dari ibu negara Sanaa ke Moroni di pulau Comoros di luar pantai Mozambiqueang.
Pesawat itu bagaimanapun tiba-tiba terhempas ke dalam lautan dalam keadaan gelap pada tengah malam, hanya beberapa saat sebelum ia dijadualkan untuk mendarat di Moroni pada 29 Jun 2009.
Hanya Bahia terselamat dalam insiden itu selepas gadis yang tidak pandai berenang itu, berpaut pada serpihan di dalam air selama 13 jam.
Pada Mei 2022, Bahia menggambarkan detik yang membawa kepada nahas dan penyelamatannya semasa perbicaraan terhadap syarikat penerbangan itu di Perancis yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan rakan mangsa, lapor Guardian.
"Penerbangan berjalan seperti biasa sehingga persiapan untuk mendarat.
"Saya mula berasa ada gelora udara, tetapi tiada siapa yang bertindak balas, jadi saya memberitahu diri saya bahawa ia mesti normal.
"Tetapi kemudian berasa sesuatu seperti renjatan elektrik melalui badan saya. Terdapat 'lubang hitam' antara saat (tempoh) saya duduk di dalam pesawat dan saat saya mendapati diri saya di dalam air," katanya.
Bahia terjaga di dalam air pada tengah malam, namun dalam keadaan keliru dan lemah akibat terkejut.
Gadis itu berpaut pada serpihan pesawat sebelum bot penyelamat tiba 12 jam kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan