"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 warga asing samun wang tunai RM360,966 ditahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Ampang: Berpura-pura terbabit urusan jual beli emas, sebelum menyamun mangsa. Taktik itu digunakan empat warga asing sebelum melarikan wang tunai RM360,966 milik lelaki tempatan di Jalan Sulaiman 1, di sini, minggu lalu.

Kecekapan polis bagaimanapun berjaya menahan semua mereka pada 28 Jun dan 29 Jun lalu, dengan dua daripadanya direman hingga 12 Julai dan dua lagi hingga 16 Julai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku pada 4.20 petang, 24 Jun lalu selepas mangsa berusia 45 tahun dibawa menaiki kereta untuk ke pejabat suspek bagi bertemu seorang lelaki dalam urusan jual beli emas.

Katanya, ketika dalam perjalanan itu, mangsa yang bekerja sebagai jurutera dibawa ke lokasi kejadian dan suspek memaklumkan transaksi jual beli akan dibuat di kawasan pejabat.

"Tiba di lokasi itu, suspek memaklumkan mahu melihat bukti wang berjumlah RM360,966 (dibawa mangsa), lalu meminta mangsa beralih ke tempat duduk belakang untuk menyelia proses kiraan wang.

"Mangsa kemudian meninggalkan beg mengandungi wang berkenaan di tempat duduk hadapan dan berpindah ke tempat duduk belakang.

"Sejurus mangsa beralih tempat duduk, secara tiba-tiba suspek merampas beg terbabit dan melarikan diri dengan kereta lain yang sedang menunggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, mangsa yang terkejut cuba membuka pintu kereta namun gagal kerana dikunci dan dia akhirnya berjaya keluar melalui tingkap.

Susulan laporan, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 24 hingga 37 tahun di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur.

"Pasukan serbuan merampas wang tunai RM28,300, dua kereta, telefon bimbit (enam), laptop (satu), pakaian, kasut, kad bank (enam), dan kunci rumah.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: