"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang lebih RM600,000 cuba bawa keluar oleh lelaki warga asing berjaya dihalang

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Norlela menunjukkan wang tunai yang dirampas selepas sidang akhbar di Kastam Kargo Klia hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!
SEPANG – Sejumlah wang tunai mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan dolar Singapura bernilai lebih RM600,000 yang cuba dibawa keluar dari negara ini tanpa ikrar oleh warga asing berjaya digagalkan pada 13 Jun lalu.

Dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini itu, warga asing tersebut cuba membawa keluar wang tersebut ke Timur Tengah dengan menaiki pesawat.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, lelaki itu ditahan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dengan kerjasama pasukan Aviation Security (Avsec).

Beliau berkata, pengembara berusia lingkungan 60-an itu ditahan susulan pemeriksaan pada bagasi dibawanya.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui mata wang ringgit berjumlah RM572,563 dan SG$24,500 (RM85,158).

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber wang tunai milik lelaki dipercayai pengarah sebuah syarikat di luar negara itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001 kerana lelaki itu tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: