"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dipenjara 40 tahun sebabkan kematian pengusaha judi dalam kebakaran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun terhadap seorang lelaki kerana membunuh seorang pengusaha judi dalam talian dengan membakar kedainya enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Syed Faisal Syed Amir menjatuhkan hukuman penjara maksimum itu terhadap Muzammil Mohamad selepas mendapati beliau bersalah membunuh Ng Wai Keong, ketika itu berusia 26 tahun, pada 23 Mei 2020 di Batu Kurau, kira-kira 20km dari Taiping.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman 12 sebatan terhadap Muzammil, yang kini berusia 30 tahun.

“Hukuman ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada orang ramai,” kata Syed Faisal dalam alasan penghakimannya yang terperinci semalam.

Menurut fakta kes, Muzammil dan rakannya, Syazwan Yaakob serta Zafirus Ghazali, sering berurusan dengan Ng untuk membeli token bagi perjudian dalam talian.

Pada 23 Mei 2020, sehari sebelum Hari Raya, ketiga-tiga rakan itu bersama seorang lagi individu sedang berjudi menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Muzammil kalah dalam pertaruhan lalu berang dan mahu berjumpa Ng. Dia meminta seorang lagi individu yang dikenal pasti sebagai Nizam membeli dua botol petrol.

Dia dan Nizam tiba di luar kedai Ng pada hari itu, manakala Syazwan dan Zafirus bersama mereka tidak lama kemudian.

Syazwan dan Zafirus melihat Muzammil mundar-mandir dalam keadaan marah kerana mahu mendapatkan semula wangnya daripada Ng. Kedua-dua lelaki itu cuba memujuknya supaya beredar, tetapi Muzammil enggan mendengar nasihat mereka.

Muzammil kemudian pergi ke bahagian belakang kedai, tempat Ng menjalankan perniagaannya melalui sebuah ‘lubang’.

Zafirus, yang bersama Muzammil ketika itu, melihat tertuduh menuang petrol ke dalam lubang berkenaan sebelum api menyala. Dia terdengar Ng menjerit meminta pertolongan dari dalam kedai.

Ng merangkak keluar dari kedai itu dan berjaya menghubungi rakannya, Ng Inn Siang, untuk meminta bantuan. Inn Siang bersama seorang lagi rakan membawa Ng ke hospital.

Ng meninggal dunia pada 3 Jun 2020 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, akibat ‘kecederaan akibat kebakaran serta jangkitan pada saluran pernafasan atas dan bawah serta esofagus”.

Mahkamah menolak pembelaan Muzammil bahawa Zafirus yang menuang petrol ke dalam lubang itu, dengan memutuskan bahawa pembelaan tersebut gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tiada ulasan: