Khirrul Nirwan Bahaudin
BENTONG: Seorang pekerja maut selepas tersepit dalam mesin ketika melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah kilang kertas di Kawasan Perindustrian Bentong, Karak, semalam.
Mangsa, Muhammad Saifulnizam Miskam, 32, berasal dari FELDA Lakum, Lanchang, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bentong.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Azmi Mahmod berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.56 malam, dengan maklumat awal menyatakan mangsa tidak sedarkan diri selepas tersepit dalam mesin.
“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan Balai Polis Karak digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan