Enam kali gagal hadir ke mahkamah, penari mabuk dipenjara tiga hari, denda RM20,000
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Bing Lee dipenjara tiga hari dan denda RM20,000 selepas mengaku memandu mabuk. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Selepas enam kali gagal hadir prosiding sebutan kes, seorang penari akhirnya dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk, tahun lalu.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Bing Lee, 44, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, rayuan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mahkamah turut mengambil kira kandungan alkohol dalam darah tertuduh yang melebihi tiga kali ganda daripada had dibenarkan.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda berkenaan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sebagai ganti.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 171 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml), melebihi had dibenarkan iaitu 50 mg/100ml.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Taman Kota, Yong Peng, di sini, pada jam 1.15 pagi, 11 Mei 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu.
Berdasarkan fakta kes, polis yang menjalankan operasi Op Mabuk menahan sebuah kereta selepas mendapati kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
Ujian pernafasan terhadap tertuduh mendapati dia positif alkohol sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.
Pada jam 2.34 pagi hari sama, ujian pernafasan sekali lagi dijalankan dan mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh masih melebihi had dibenarkan, dengan bacaan 171 mg/100ml.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan