NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

Keadaan motosikal Honda C100 yang terbakar meragut nyawa Wan Amir Faiz setelah merempuh belakang kenderaan Toyota Hilux di KM 399.2, LPT 2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu hari ini.
HULU TERENGGANU – Seorang penunggang motosikal Honda C100 yang dalam perjalanan pulang dari sebuah program permotoran di Kuantan, Pahang maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan pikap, Toyota Hilux di Kilometer 399.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil, di sini, hari ini.
Kemalangan pada pukul 12.53 tengah hari tersebut turut menyebabkan motosikal mangsa, Wan Amir Faiz Jamal Paisal, 20, hangus terbakar.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Wan Amir Faiz dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hutan Kuin, Machang, Kelantan selepas menyertai sebuah program permotoran di Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda C100 ditunggangi mangsa dikatakan gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah kenderaan Toyota Hilux.
“Kenderaan pikap itu dikatakan berhenti di lorong kecemasan berikutan salah satu motosikal lain yang turut menyertai program permotoran sama mengalami kerosakan,” katanya di sini semalam.
Sharudin berkata, mayat Wan Amir Faiz yang rentung telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pemandu lelaki dan penumpang wanita masing-masing berusia 37 dan 45 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan dari program permotoran sama pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan