"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS cabar pemimpin Umno Johor berdebat

 Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman mencabar pemimpin Umno di negeri tersebut untuk berdebat secara intelektual tentang senario dan masa depan orang Melayu Johor.

mazlan aliman"Nyatakan tarikh, masa dan tempat untuk kita berbahas secara jujur dan ikhlas," katanya sambil meminta Umno supaya jangan mengheret DAP 'di pentas terbuka untuk menjadi juara orang Melayu'.

Mazlan menegaskan demikian sebagai mengulas komen Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman terhadap kenyataan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu baru-baru ini.

Dr Boo mendakwa, amalan 'bumiputeraisme' atau pemikiran membantu golongan bumiputera yang diamalkan di negeri ini menyamai ideologi aparteid.

Amalan tersebut, kata Dr Boo - yang juga ketua pembangkang di DUN Johor - bersifat aparteid kerana berasaskan politik perkauman iaitu golongan yang dominan diberikan keutamaan dalam mendapatkan bantuan.

Abdul Ghani membidas kenyataan Dr Boo itu dengan menyatakan penggunaan istilah aparteid yang disamakan dengan konsep 'bumiputeraisme' adalah melampau, tidak berasas dan keterlaluan.

Dr Boo, tegas menteri besar, telah menggunakan sidang DUN untuk menarik perhatian ramai dengan cara berbahaya kerana memainkan sentimen perkauman.

Pakatan sepakat


Mengulas lanjut mengenainya, Mazlan berkata, untuk berlaku adil, sepatutnya ucapan lengkap Dr Boo disiarkan sepenuhnya oleh media arus perdana.

"Sebagai anggota Pakatan Rakyat, kami sentiasa berbincang antara satu sama lain dan sekali-kali tidak menjadi kuda tunggangan seperti tuduhan pemimpin Umno," katanya dalam satu kenyataan.

"Pakatan Rakyat Johor bekerja dalam satu pasukan yang mantap dalam kebersamaan yang telah teruji dalam banyak keadaan.

"Bahkan bajet alternatif yang kami kemukakan di DUN Johor lebih baik dan praktikal berbanding (yang dibentangkan oleh) kerajaan BN Johor," katanya.

Mazlan berkata, beliau yakin isu bumiputeraisme dan aparteid diperbesarkan untuk menarik simpati sokongan orang Melayu yang didakwanya semakin jauh menyisihkan diri dari Umno.

"Ia juga mahu mengugat hubungan PAS dan DAP. Pakatan Rakyat Johor masak dengan permainan politik Umno," katanya.

Mazlan juga mendakwa politik hipokrit pemimpin Umno yang menurutnya berselindung atas nama ketuanan Melayu, sudah berakhir dan "wajah perkauman sempat memakan diri mereka sendiri".                                                                                -malaysiakini-

Tiada ulasan: