KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Balai Polis Damansara terhadap laman blog yang memfitnahnya , kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Pengarahnya, Datuk Koh Hong Sun ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya kini mengambil alih siasatan tersebut dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Ditanya pemberita jika ada sebarang tangkapan dan mana-mana individu telah dipanggil untuk membantu siasatan, Hong Sun bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Mohd. Saiful yang merupakan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuat laporan di Balai Polis Damansara terhadap sebuah laman blog kerana menyiarkan beberapa artikel mendakwa dia kini tenat akibat sumpah laknat yang dilafazkannya, tahun lalu. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini turut mengesahkan laporan polis itu telah diambil alih oleh Bukit Aman. Laporan itu dibuat terhadap pahangdaily.blogspot.com yang menyiarkan enam artikel berunsur fitnah terhadap Mohd. Saiful, baru-baru ini. Turut menemani beliau ke balai polis berkenaan adalah bapanya Azlan Mohd. Lazim dan peguam, Zamri Idrus kira-kira pukul 11.30 pagi. Selain laporan polis tersebut, Mohd. Saiful turut membayangkan kemungkinan menyaman bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi kerana didakwanya telah memutarbelitkan kenyataan berhubung sumpah laknat yang dibuat di hadapan imam itu, Ogos tahun lalu. Utusan Malaysia
[Nampaknya kes ini semakin panas sekarang ini. Kami terpaksa juga berhadapan biarpun dalam keadaan serba kekurangan. Jika tidak ada aral melintang krew-krew kami akan turut berada di Perhimpunan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI), di Kuala Lumpur esok. Kepada semua pembaca, rakan-rakan dan sahabat yang terus menyokong Pahang Daily Online kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Semoga dengan ini akan memberi kekuatan untuk kami berhadapan dengan Saiful Bukhari dalam kes saman beliau ini. Kami masih menantikan info lanjut hal ini dan peguam-peguam kami juga sudah bersedia untuk berhadapan dengan Saiful. Apapun kami senantiasa berharap agar kes ini dapat selesai dengan baik dan tiada unsur-unsur sabotaj yang akan terjadi nanti].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan